Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

3 lelaki hadapi tuduhan culik, rompak gadis



SHAH ALAM 26 Nov. - Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melarikan seorang gadis di sebuah rumah tumpangan sebelum merompak mangsa pada akhir September lalu.
T. Karthik, 23, S. Ramesh, 27, dan P. Kumaran, 27, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.
Mereka didakwa melarikan dengan niat untuk memaksa gadis berusia 21 tahun itu melakukan persetubuhan haram di tangga Rumah Tumpangan Rawang, No. 111R, Jalan Maxwell, Bandar Rawang, Gombak dekat sini pada pukul 1.45 pagi, 27 September lalu.
Ketiga-tiga tertuduh juga didakwa merompak sebuah telefon bimbit, anak kunci rumah tumpangan dan wang tunai RM10 milik mangsa di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di sekitar Rawang pada masa dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan menculik, mereka didakwa mengikut Sesyen 366 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara untuk pertuduhan merompak secara berkumpulan, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Karthik yang bekerja sebagai penjaga stor juga turut dituduh merogol serta memaksa mangsa melakukan seks oral terhadapnya di ladang kelapa sawit Jalan Sungai Choh, Rawang pada masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 dan 377B Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara Kumaran yang menyara hidup sebagai kelindan lori menghadapi satu lagi pertuduhan menyamar dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum melarikan mangsa.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Ab. Rahim membantah sebarang jaminan diberikan kepada ketiga-tiga tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius selain ia semakin kerap berlaku di Selangor.
Beliau turut memohon kesemua pertuduhan melibatkan ketiga-tiga tertuduh dibicara bersama kerana ia melibatkan mangsa serta kejadian yang sama.
Peguam yang mewakili Karthik, S. Karthigeson bagaimanapun menyifatkan ketiga-tiga tertuduh tidak diberi hak yang sewajarnya jika mereka tidak dibenarkan bebas dengan jaminan.
Beliau turut memohon agar ketiga-tiga tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret bagi kesalahan mengikut Seksyen 366 bagi membolehkan mereka diberikan hak untuk diikat jamin.
Wan Norisham kemudiannya menolak permohonan untuk membebaskan Karthik, Ramesh dan Kumaran dengan ikat jamin.
Beliau bagaimanapun mengarahkan pertuduhan melarikan mangsa terhadap mereka dipindahkan ke Mahkamah Majistret.
Kes itu akan disebut semula pada 31 Januari ini.

No comments:

Post a Comment