Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

21 sekolah di Perlis diarah tutup


LALUAN  utama di hadapan Hospital Tuanku Fauziah di pinggir bandar Kangar yang ditenggelami banjir Foto: Ahmad Fayadh Abdul Manap (03/11/10)
LALUAN utama di hadapan Hospital Tuanku Fauziah di pinggir bandar Kangar yang ditenggelami banjir Foto: Ahmad Fayadh Abdul Manap (03/11/10)

KANGAR 2 Nov. - Sebanyak 21 sekolah di negeri ini telah diarah tutup berikutan keadaan banjir yang semakin buruk bermula semalam.
Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, penutupan itu melibatkan 11 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 10 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).
"Seramai 9,226 pelajar akan terlibat dalam penutupan sementara sekolah sehingga keadaan banjir pulih," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, antara SK yang ditutup adalah SK Sanglang, SK Sri Indra, SK Bukit Keteri, SK Santan, SK Padang Melangit, SK Arau dan SK Tengku Budriah.
SMK yang ditutup pula SMK Arau, SMK Syed Hassan, SMK Vokasional Arau, SMK Datuk Sheikh Ahmad dan SMK Vokasional Arau.
Beliau berkata, berikutan keadaan banjir yang semakin buruk, beberapa sekolah turut diarah menangguhkan peperiksaan akhir tahun.
Katanya, terdapat 101 sekolah di negeri ini namun 80 masih meneruskan pembelajaran seperti biasa.
"Berikutan bencana alam ini, jumlah pelajar yang hadir ke sekolah semakin merosot kerana kita percaya ada antara mereka yang terlibat dengan pemindahan mangsa banjir," ujarnya.

No comments:

Post a Comment