Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

21 jemaah ditahan



KAJANG - Seramai 21 jemaah ditahan selepas dirikan solat Jumaat di surau di Kampung Sungai Tangkas, Batu 18, Jalan Bangi, dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Agama Negeri Selangor, Mohamad Rais Rasid berkata, mereka dipercayai pengikut tegar ajaran sesat, ‘Ajaran Islam Jamaah'.

Mereka terdiri daripada 13 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan tiga Bangladesh.

Menurutnya, mereka menunaikan solat Jumaat, walaupun tidak mencukupi 40 orang sebagai syarat berdasarkan mazhab Shafie.

Solat Jumaat kurang daripada 40 orang difatwakan salah pada 1998.

“Beberapa barang yang berkaitan dengan ciri Islam Jamaah disita sebagai bukti melanggar perintah, termasuk kitab, surat tebus dosa, pendaftaran syarikat, (buku) zikir serta dokumen lain,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat selepas operasi dilakukan.

Rais berkata, risikan dilakukan sejak tahun 2009 selepas menerima aduan.

Ciri kesalahannya didapati mengikut fatwa Bai’ah.

Setiap pengikut perlu berbai’ah dengan seorang dikenali sebagai Nurhasan, yang didakwa Amirul Mukminin.

Menurut Rais, jemaah ditahan itu dibawa ke mahkamah untuk proses jamin atau perintah tahanan.

Ketua kumpulan itu, Abdul Wahid ada di Indonesia katanya, mereka mengesyorkan supaya Imigresen menghantar jemaah Indonesia balik ke negara asal dan menahan Abdul Wahid di lapangan terbang.

“Jemaah yang ditahan berusia 29 hingga 55 tahun dan (Jais) akan mencadangkan kepada pendakwa supaya memasukkan mereka ke pusat pemulihan, tetapi bukan penjara kerana dikhuatiri akan mempengaruhi yang lain.

Terdapat sebuah surau dengan kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk dijadikan solat Jumaat dan hanya 2 kilometer dari situ.

Ajaran itu juga pernah disebarkan di Petaling Jaya, Klang dan Kuala Langat . Wahid dan isterinya diarah hadir ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat bantu siasatan pada 1 Disember ini.

No comments:

Post a Comment