Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

2 penyeludup lari elak ditangkap




PADANG BESAR – Cubaan dua penyeludup untuk membawa masuk 38 kambing jantan melalui pintu masuk sempadan Padang Besar – Thailand di sini, gagal apabila sepasukan anggota Pos Simpang Lima Rejimen Sempadan yang sedang mengadakan rondaan terserempak dengan mereka. 

Malah kesemua kambing turut dipasangkan tag kuarantin palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa tempatan. 

Ketua Kompeni B, Batalion 5 RS, Mejar Norawze Che Sidek berkata, rondaan yang diketuai Kapten Nasip Mirol terserempak dengan dua penyeludup berkenaan pada jam 4 petang kelmarin. Namun, pihaknya tidak dapat memberkas penyeludup berkenaan kerana mereka sempat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran. 

Menurutnya, dua penyeludup berkenaan dipercayai menyeludup kambing berkenaan untuk dijual terus ke pasaran tempatan tanpa menjalani tempoh kuarantin terlebih dahulu. 

“Penggunaan tag pada kambing berkenaan hanya boleh didapati selepas haiwan ternakan berada dalam tempoh kuarantin yang sudah ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar Negeri (JPHV). 

“Taktik samaran tag palsu yang dipasang pada telinga kambing berkenaan dikesan sudah lama dipraktikkan terutama dalam kalangan sindiket di sekitar kawasan sempadan di sini. 

“Tag berkenaan dipercayai dipasang sebelum ternakan dibawa masuk melepasi sempadan, seolah-olah kemasukannya mengikuti prosedur ditetapkan, sekali gus berpotensi menjadi samaran untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui berhampiran dengan garisan sempadan Padang Besar – Thailand. 

Berdasarkan maklumat, tag berkenaan kebiasaannya digunakan untuk mengesahkan ternakan dibawa masuk ke negara ini melalui laluan sah, termasuk melepasi tempoh kuarantin ditetapkan JPHV. 

Namun, pihak Veterinar negeri yakin tag yang digunakan itu palsu dan semua 38 kambing yang dirampas akan diserahkan kepada pihak JPHV negeri untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Pos Simpang 5 RS, Kapten Nasip Miros berkata, semua kambing baka terbabit ditemui di kawasan cerun bukit kira-kira 100 meter dari garisan sempadan, petang kelmarin. 

“Ketika ditemui, dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an dilihat sedang asyik memandu arah kambing terbabit di kawasan cerun berkenaan sebelum melarikan diri, selepas menyedari kehadiran anggota bertugas. 

“Berdasarkan maklumat, semua kambing terbabit dikatakan bernilai antara RM300 dan RM400 setiap seekor. Bagaimanapun, harganya dikatakan mampu mencecah sehingga RM700 seekor di pasaran tempatan,” katanya. 

Difahamkan, kawasan berkenaan sebelum ini dikawal Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), namun kini diambil alih Batalion 5 RS yang berpangkalan di Bukit Kayu Hitam, Kedah secara rasmi bermula 15 November lalu. 

“Kami yakin kawasan hutan berbukit ini sering menjadi laluan penyeludup memandangkan sempadannya tidak dilengkapi pagar dan ini membolehkan penyeludup keluar masuk dengan mudah. 

“Walaupun baru mengambil alih tugas mengawal sempadan, anggota RS sentiasa bersiap sedia untuk menjalankan tugas pemantauan bagi memastikan laluan terbabit selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment