Search This Blog

Friday, November 26, 2010

16 rumah rosak dilanda ribut





RANAP... Rumah milik Abu Bakar Ahmad (gambar kecil) 'hilang' dan yang masih tegak hanyalah pelapik tiang rumah.


KANGAR 25 Nov. - Sebanyak 16 rumah mengalami kerosakan teruk akibat ribut di sekitar kawasan Arau pada pukul 6.30 petang semalam. Daripada jumlah itu, tiga rumah rosak teruk dalam kejadian yang melibatkan Kampung Long Boh, Kampung Baru, Tambun Tulang dan Sungai Bakong.
Salah seorang mangsa Abu Bakar Ahmad, 40, berkata, rumahnya yang baru dipindahkan ke tapak baru ranap teruk setelah tumbang akibat dipukul ribut.
"Rumah tersebut merupakan rumah lama yang saya dan orang-orang kampung angkat dari tapak asal untuk kediaman kami empat beranak baru-baru ini," katanya ketika ditemui setelah menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, (JKM) Abdullah Ali, di sini, hari ini.
Dia hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa rumahnya daripada jiran sekampung kerana ketika itu dia berada di rumah kakaknya di Jejawi.
Abu Bakar diberitahu oleh rakannya bahawa ketika kejadian, rumahnya seolah-olah terangkat beberapa meter daripada tapak asal sebelum tumbang ke bahagian belakang.
"Saya dan keluarga bernasib baik tidak ada dalam rumah semasa kejadian kerana selalunya kami bermalam di rumah kakak saya memandangkan rumah berkenaan tidak mempunyai bekalan elektrik," katanya.
Abu Bakar yang bekerja sebagai pesawah kerugian RM5,000 akibat kejadian itu dan mengharapkan bantuan daripada pihak bertanggungjawab untuk membina rumah kediaman yang baru.
Sementara itu, Md. Isa berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan bantuan rumah kepada Abu Bakar dan akan merujuk perkara tersebut kepada Baitulmal negeri.
Katanya, Abu Bakar layak untuk menerima bantuan bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berdasarkan pekerjaan dan pendapatan yang diperoleh.
Dalam pada itu Md. Isa berkata, sebanyak 30 mangsa terlibat dalam kejadian ribut kali ini dan bantuan awal telah diserahkan oleh JKM kepada mangsa yang terlibat.
"JKM juga sedang menilai kerugian sebenar mangsa akibat kejadian ribut ini," katanya.

No comments:

Post a Comment