Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

14,753 kes HIV dicatat di Johor





NUSAJAYA 26 Nov. – Sebanyak 14,753 kes HIV dicatatkan di negeri ini setakat ini dengan trend jangkitan masih didominasi golongan penagih dadah menerusi penggunaan dadah secara suntikan (IVDU).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, seramai 2,038 daripada jumlah itu menghidap penyakit AIDS dan 1,407 orang telah maut akibat penyakit berbahaya itu.
Beliau berkata, Johor Bahru mencatat bilangan kes HIV tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak 6,543 kes atau 44 peratus diikuti Kluang (3,264 kes) dan Muar (2,630 kes).
“Mengikut bilangan dan peratus jumlah terkumpul kes HIV di negeri ini mengikut daerah, Kulaijaya mencatat bilangan kes terendah iaitu sebanyak 28 kes atau 0.18 peratus selain Ledang sebanyak 57 kes.
“Berdasarkan pada faktor risiko, trend jangkitan HIV adalah disebabkan oleh penagih dadah, namun dalam jangka masa 10 tahun, trend jangkitan di kalangan mereka berkurangan dari 77 peratus pada 2000 kepada 56 peratus pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Chia Song Cheng (BN-Pengkalan Rinting) mengenai jumlah kes HIV mengikut daerah di seluruh negeri ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini,
Johor mencatatkan kes pertama HIV membabitkan seorang lelaki pada 1989 dan jumlah kes HIV terkumpul yang dilaporkan di seluruh negara sejak 1986 adalah sebanyak 87,710 kes.
Robia berkata, masih ramai terjebak dengan penyalahgunaan dadah perangsang, Amphetamine Type Stimulants (ATS) bertujuan menghasilkan tenaga dan kesan berjaga yang lama.
Katanya, selain menghasilkan keseronokan untuk jangka masa lama, ATS sebenarnya dapat meningkatkan nafsu seks sehingga boleh mengakibatkan mereka terjebak dengan hubungan seks secara bebas.
“Akibat penggunaan ATS terbabit, mereka akan mempunyai tingkah laku berisiko tinggi yang membawa kepada seks bebas sekali gus boleh mengakibatkan jangkitan HIV,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan peka dengan masalah berkenaan malah program saringan HIV bagi ibu mengandung juga dilakukan bagi membantu mengesan wanita yang dijangkiti HIV melalui hubungan seks.
Katanya, program yang dijalankan adalah penting bagi membantu ibu mengandung supaya dapat melakukan pencegahan daripada terus dijangkiti kepada anak yang dikandung.
“Kelewatan mengesan ibu mengandung yang dijangkiti HIV akan meningkatkan peratus risiko jangkitan HIV kepada bayi daripada 30 peratus kepada 45 peratus,” katanya.

No comments:

Post a Comment