Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Warga emas maut kereta dirempuh lori

SEREMBAN: Seorang warga emas maut selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan di Kilometer 259.5 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Port Dickson, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 pagi ketika hujan lebat itu, mangsa N Subramaniam, 66, mati di tempat kejadian kerana parah di kepala.
Tiga lagi lelaki termasuk pemandu Proton Waja dinaiki mangsa cedera dengan dua daripadanya parah.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kereta Proton Waja yang dinaiki mangsa dipercayai ingin masuk ke susur Port Dickson dirempuh lori tanpa muatan berkenaan menyebabkannya rosak teruk.

“Berikutan rempuhan itu, Subramaniam yang duduk di kerusi penumpang belakang mati di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang depan parah. Seorang lagi lelaki yang duduk di kerusi belakang cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, selepas merempuh kereta Proton Waja, lori tanpa muatan itu hilang kawalan lalu melanggar besi pemisah lorong susur dengan laluan lebuh raya menyebabkannya terbalik.

Menurutnya, pemandu lori berusia 30-an itu bagaimanapun tidak cedera sudah membuat laporan sejurus selepas kejadian dan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Mangsa dan tiga lagi lelaki yang mempunyai tali persaudaraan itu dipercayai dalam perjalanan ke Port Dickson.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Katanya, mayat mangsa yang beralamat di Bahau, dekat sini, dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarganya. Tinjauan mendapati beberapa lagi kemalangan lain berlaku selepas kemalangan itu apabila kenderaan mula berasak-asak di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment