Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Tujuh disemadi satu liang lahad



Oleh Sharifah Salwa Syed Akil, Wan Faizal Ismayatim, Nahar Tajri, Sukhairi Abd Thani, Mohd Zaky Zainuddin, Faridzwan Abdul Ghafar, Nadia Ahmad dan Safuri Kamarudin
edisimingguan@bharian.com.my
2010/10/31


  • Foto
    JENAZAH tujuh ahli Belia 4B kampung Siong disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Kampung Baru, Mukim Siong, semalam.
  • Foto
5,000 iringi pengebumian mangsa kemalangan bas di Lebuh Raya Karak

BALING: Suasana hiba menyelubungi Kampung Baru Mikim Siong di sini, semalam apabila jenazah tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer (Km) 36 Lebuh Raya Karak, malam kelmarin tiba untuk disemadikan di kampung tanah perkuburan kampung halaman masing-masing.
Semua jenazah yang dibawa dengan van tiba di pekarangan masjid Al Falah Kampung Setoi di sini, pada jam 2 petang dan disembahyangkan setengah jam selepas itu oleh ahli kariah kampung berkenaan sebelum dibawa ke tanah perkuburan Kampung Baru untuk disemadikan pada kira-kira jam 3 petang.
Suasana pilu mengiringi pengebumian jenazah apabila beberapa ahli keluarga mereka menangis teresak-esak kerana kehilangan orang tersayang akibat kejadian yang turut membabitkan 21 lagi mangsa yang cedera apabila bas dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

Seramai 5,000 orang termasuk sanak saudara, pemimpin masyarakat, pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mula berkumpul di kawasan masjid seawal jam 11 pagi untuk sama-sama menghadiri solat jenazah seterusnya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan untuk disemadikan. 

Dalam kejadian itu semua enam mangsa iaitu Mohammad Yusof Akhit, 16; Mohamad Khairy Mohamad Marzuki, 14; Ohamad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husain, 17; Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17, Mohamad Amirul Mohd Isa, 13, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi Mohd Zainal Mohd Sufian, 28, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Selayang. 

Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin. 
Mashitah ketika ditemui berkata, beliau amat mengenali seorang daripada tujuh mangsa iaitu Mohd Zaidi Mohd Sufian kerana arwah sebelum ini sering terbabit secara aktif dengan aktiviti belia di daerah berkenaan. 

“Arwah pemuda yang aktif dalam persatuan dan selalu mengadakan program untuk golongan belia kawasan ini. Kehilangannya amat dirasai kerana semasa hayatnya dia adalah seorang yang rajin dan sentiasa komited dengan tugasnya," katanya.

Seorang nenek, Siti Salmiah Mahmud, 60, berkata, keletah cucunya Mohamad Amirul ketika meminta wang RM50 untuk dibelanjakan sebelum menyertai rombongan belia itu masih terngiang-ngiang di telinganya. 

“Lepas balik sekolah Amirul minta RM50, katanya nak buat belanja masa ikut rombongan nanti dan kata dia tak mahu sekolah lagi selepas ini. 

“Masa itu saya tidak fikir apa-apa kerana menyangka dia bergurau,” katanya. 

“Saya amat merasai kehilangannya kerana dia seorang cucu yang baik dan selalu membantu saya malah dia amat disenangi penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, ibu seorang lagi mangsa, Siti Zainab Abdullah, 58, berkata dia dan keluarga reda dengan kejadian yang menimpa anaknya, Mohd Fahimi Abdul Mustaffa, 17, dan berdoa supaya rohnya dicucuri rahmat. 

Beliau berkata, anaknya itu adalah harapan mereka sekeluarga dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. 

Siti Salmiah berkata, Amirul, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong, adalah anak sulung daripada dua beradik dan ibu bapanya pula adalah orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran serta bisu. Bapanya Mohamad Isa Zakaia,47, turut mengalami sakit jantung dan tidak mampu melakukan kerja berat. 

“Saya beri RM100 kepadanya untuk membeli keperluan ketika bersama rakannya mengikuti rombongan itu dan tidak menyangka dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Saya reda apa yang berlaku kerana semuanya itu kehendak Allah. Dalam masa sama saya bersyukur kerana seorang lagi anak kami Mohd Akram,19, terselamat dalam kemalangan itu,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan tujuh maut, 21 cedera selepas bas persiaran membawa 44 ahli Belia 4B dari Kampung Siong, Baling, Kedah yang dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan di Kilometer 36, Lebuhraya Karak.

No comments:

Post a Comment