Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Tindakan pantas bomba selamatkan lebih banyak rumah musnah dalam kebakaran


DAYANG Romina Awang Adi menurunkan bingkai yang tertera tulisan ayat suci al-Quran setelah rumahnya musnah dalam kebakaran di Samarahan, Sarawak, semalam.

sumber
SAMARAHAN 14 Okt. – Tindakan pantas bomba mengawal kebakaran sebuah rumah di Lorong 30A, Taman Samar Indah di sini dalam tempoh hanya dua minit telah menyelamatkan sederet rumah teres setingkat yang lain.
Dalam keadaan cuaca panas terik itu, pihak bomba bertindak cekap dengan memotong pagar rumah yang terbakar itu lalu mengawal api daripada terus merebak ke rumah-rumah lain di sebelahnya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Shah Saad berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.50 petang sebelum jentera tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pagar rumah mangsa dalam keadaan berkunci kerana pemiliknya masih di tempat kerja.
“Disebabkan itu, kita terpaksa memecah masuk dengan memotong pagar rumahnya lalu mengawal api yang semakin marak dan berjaya menghalangnya daripada merebak hanya dalam tempoh dua minit sahaja.
“Pihak bomba berjaya memadam sepenuhnya kebakaran itu pada pukul 2.58 petang dan kemusnahan hanya membabitkan kawasan ruang tamu rumah sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dua buah jentera bomba terbabit dalam operasi memadam kebakaran tersebut iaitu dari Balai Bomba Kota Samarahan dan Balai Bomba Tabuan Jaya dengan kekuatan 17 pegawai dan anggota di samping bantuan tiga anggota daripada Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM).
Sementara itu, mangsa, Dayang Romina Awang Adi, 38, memberitahu, ketika kejadian dia sedang menghantar seorang kawan selepas habis mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Mata Parang di sini.
Katanya, dia dimaklumkan oleh jiran bahawa rumahnya terbakar lalu bergegas pulang ke kediamannya dan pada masa sama mendapati pihak bomba turut menghala ke rumahnya itu.
“Kesemua barang di bahagian ruang tamu dan dapur telah musnah tetapi saya bersyukur kerana bilik tidur yang menempatkan pelbagai dokumen tidak terjejas,” katanya.

No comments:

Post a Comment