Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Terlibat jenayah antarabangsa

sumber
Hishammuddin Tun Hussein berjabat tangan dengan Chris Bowen di Bukit Aman, semalam. Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abd. Rahim Mohd. Radzi.


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Sembilan individu termasuk tujuh pegawai Imigresen yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipercayai bersekongkol dengan sindiket pemerdagangan antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan kerajaan itu wajar kerana sindiket jenayah antarabangsa tersebut sangat berbahaya kerana menggunakan pintu-pintu masuk di negara ini.
Menurutnya, aktiviti penyeludupan manusia memberi kesempatan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pelbagai jenayah serius seperti keganasa, penyeludupan senjata api, pengedaran dadah, pengintipan dan pengubahan wang haram.
Difahamkan, kesemua yang ditahan termasuk seorang pegawai imigresen berjawatan Timbalan Penolong Pengarah dipercayai terlibat dalam penyeludupan masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Hishammuddin berkata, kesemua suspek dan ketua-ketua sindiket telah dipantau begitu lama oleh pihak berkuasa kerana menggunakan pintu masuk negara sebagai platform penyeludupan manusia ke negara ini.
"Oleh itu, kita rasa perkara ini begitu serius dan berbahaya serta mengambil keputusan menahan mereka di bawah Akta ISA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Imigresen dan Kerakyatan Australia, Chris Bowen di bilik menteri, Menara Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.
Ditanya mengapa kesemua mereka tidak dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan terbabit, Hishammuddin berkata, pihaknya akan membawa kesemua suspek ke muka pengadilan selepas siasatan mengenai penglibatan mereka selesai.
Jelas beliau, kesemua yang ditahan itu membawa kesan dan ancaman kepada ketenteraman serta keselamatan negara.
"Kita akan memberi maklumat dari masa ke semasa berhubung tindakan yang akan diambil ke atas mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment