Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Sorok 560 karton rokok seludup bawah fabrik uniform bomba



ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 50-an ditahan manakala 560 karton rokok jenis Gudang Garam Surya disorok di bawah fabrik pakaian seragam Jabatan Bomba dan Penyelamat di bahagian tempat duduk penumpang keretanya dirampas.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah, Mohd Jasri Othman berkata, sebelum ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam, anggota UPP telah mengekori kereta suspek sehingga ke sebuah kawasan perumahan dan menahannya.

"Serbuan ini hasil makluman awam dan selepas melakukan pemeriksaan, didapati terdapat rokok di bahagian tempat duduk belakang serta dalam bonet kereta terbabit," katanya.

Beliau berkata, rokok yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM9,400 dan cukai yang cuba dielakkan ialah lebih RM32,000.

Mohd Jasri berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan. Kes diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment