Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

'Saya di alam ghaib'

GUA MUSANG: “Saya tiba-tiba tersedar apabila kedua-dua tangan dipegang orang ramai sebelum mengusung saya keluar dari kebun. Cuma badan berasa letih kerana tidak makan dan hanya bergantung kepada buah dokong,” kata Hassan Dolah, 90, yang hilang sejak lima hari lalu sebelum ditemui selamat di kebun getahnya di Kampung Pasir Tumbuh, dekat sini, petang semalam.
Hassan ditemui pasukan penyelamat bersama penduduk kampung yang melancarkan gerakan mencarinya kira-kira jam 1.45 tengah hari dalam keadaan letih di kebun getahnya sambil memegang beberapa tangkai buah dokong dan bertongkat.
Warga emas itu mendakwa, sebelum ini dia nampak orang ramai serta pasukan penyelamat mencarinya, namun mulutnya seolah-olah terkunci untuk memanggil.

“Saya mungkin berada di alam ghaib dan tidak dapat melaung kepada orang ramai yang sedang mencari,” katanya.

“Saya nampak ramai orang termasuk pasukan penyelamat yang melancarkan gerakan mencari tetapi hanya sekadar mampu melihat tapi tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Sebaik menemuinya, pasukan penyelamat segera mengusungnya keluar sebelum dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Harian Metro melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu, Hassan keluar seorang diri dengan bertongkat berjalan kaki menuju ke kebun getahnya yang terletak dua kilometer dari rumahnya, tetapi tidak pulang hingga petang.

Ahli keluarga bersama penduduk kampung yang mengetahui kejadian itu melancarkan gerakan mencarinya hingga lewat malam pada hari sama, tetapi tidak ditemui sebelum membuat laporan di Balai Polis Bertam.

Selain itu, Hassan berkata, dia sedikit pun tidak sedar di mana dia berada ketika kehilangannya.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur ditemui semula kerana keluargnya terutama isteri, Sepiah Mamat, 68, risau dengan kehilangannya.

“Saya ke kebun itu ingin melihat suasananya memandangkan tiga tahun tidak ke situ berikutan diserang angin ahmar.
“Tidak sangka pula, kedatangan ke situ membawa masalah lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihaknya mencari mangsa di tempat sama berulang kali, namun gagal sehingga dia ditemui di lokasi berkenaan petang semalam dalam keadaan tidak bermaya.

“Hairan juga tiba-tiba warga emas itu muncul di depan pasukan penyelamat bersama penduduk kampung dalam keadaan selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment