Search This Blog

Sunday, October 24, 2010

Sampel darah bapa, adik diambil



SHAH ALAM – Polis telah mengambil sampel darah dua individu dipercayai bapa dan adik lelaki kepada pemilik rangka manusia yang ditemui tertanam di ladang kelapa sawit di Bukit Brogra, Semenyih, Isnin lalu. 

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, darah dua individu itu diambil bertujuan untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA). 

Katanya, polis tidak dapat memastikan lagi sama ada dua individu itu merupakan ahli keluarga kepada pemilik rangka tersebut. 

“Apa yang pasti, dua individu itu merupakan bapa dan adik kepada orang hilang yang dilaporkan kepada kita. 

“Ujian DNA sedang dilakukan dan sampel darah itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk memastikan sama ada wujud persamaan dengan sampel DNA si mati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih lagi dilakukan. 

Dalam kejadian tersebut, penemuan rangka itu susulan daripada pengakuan seorang suspek kes pembunuhan yang menunjukkan kepada polis lokasi dia menanam mayat mangsa. 

Setelah digali, polis menemui rangka manusia yang masih ada sedikit cebisan tisu. 

Suspek berusia 30-an turut menunjukkan lokasi sebuah kereta yang hangus dibakar, dipercayai milik mangsa, iaitu kira-kira 3 kilometer dari tempat mayat mangsa ditemui. 

Polis tidak menolak kemungkinan rangka manusia itu milik individu berprofil tinggi.

No comments:

Post a Comment