Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Rasuah penguat kuasa, empat warga asing ditahan



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Gara-gara cuba merasuah beberapa pegawai penguat kuasa sebuah majlis perbandaran untuk membebaskan pekerja mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tiga majikan warga Pakistan dan seorang rakyat Bangladesh ditahan dalam tiga kes berasingan, Jumaat lalu.
Keempat-empat suspek menawarkan wang suapan itu yang kesemuanya berjumlah RM6,500 untuk membebaskan 13 pekerja masing-masing.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali berkata, kesemua mereka berusia 24 hingga 48 tahun itu ditahan sebaik sahaja menawarkan wang suapan kepada pegawai penguat kuasa terbabit di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, kira-kira pukul 10 pagi.
Beliau berkata, dalam kes pertama, dua suspek menawarkan RM2,500 kepada pegawai penguat kuasa terbabit untuk membebaskan lima pekerjanya.
Katanya, ia diikuti seorang suspek yang menawarkan RM1,000 untuk membebaskan dua pekerja
"Seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya pelajar sebuah kolej menawarkan RM3,000 kepada pegawai penguat kuasa terbabit bagi membebaskan enam pekerjanya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mustafa, kesemua suspek kini ditahan reman seminggu dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17, Akta SPRM 2009.

No comments:

Post a Comment