Search This Blog

Sunday, October 24, 2010

Proses dadah di kondo



GEORGETOWN - Polis berjaya membongkar kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin bernilai RM1 juta ringgit selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Lebuh Sungai Pinang 2, yang dijadikan sebagai makmal haram memproses dadah.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hissan Tun Hamzah berkata, dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa anggota JSJN Pulau Pinang berjaya menahan dua lelaki berusia 40 dan 41 tahun yang sedang leka memproses dadah.

Menurutnya, dalam serbuan yang dibuat kira-kira jam 11.45 pagi itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah, beberapa peralatan makmal untuk memproses dadah, wang tunai, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru.

Tun Hisan berkata, kedua-dua mereka dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di negeri ini sejak dua bulan lalu.

“Dalam serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas 21 kilogram dadah yang dipercayai jenis heroin tahap tiga, dadah heroin base seberat 300 gram, 113 kilogram kafein, asid dan klorofom.

“Kita turut temui sepucuk pistol jenis Barreta, satu magazin yang berisi 13 butir peluru yang bersaiz sembilan milimeter. Pemeriksaan yang dilakukan ke atas pistol itu mendapati suspek telah menarik pemicu pistol dan sedia untuk melepaskan tembakan bila-bila masa sahaja sekiranya mereka diserbu polis,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam. 

Tun Hissan berkata, tindakan pantas pasukan serbuan yang berjaya merampas pistol itu menggagalkan daripada suspek melepaskan sebarang tembakan kepada pasukan polis.

Katanya lagi, polis turut merampas beberapa harta suspek antaranya wang tunai RM28,000, AS$500, seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM1,300, barang kemas yang dipercayai bernilai RM56,000 dan sebuah komputer riba yang bernilai RM5000.

Polis juga merampas empat kenderaan yang dipercayai milik suspek iaitu sebuah Proton Waja, sebuah Proton Saga, sebuah Perodua Kenari dan sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM77,000.

“Jumlah keseluruhan harta yang disita ialah RM168,800 manakala nilai pasaran dadah yang dirampas kita anggarkan mencecah RM1 juta. 

“Dengan heroin seberat 21 kilogram itu, mereka boleh hasilkan 700,000 tiub kecil untuk diedarkan dan bayangkan disebabkan kegiatan mereka ini telah menyebabkan 700,000 orang menjadi mangsa dadah,” katanya.

Tun Hissan berkata, salah seorang suspek yang ditahan mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes dadah. Kedua-dua suspek kini direman sehingga 29 Oktober bagi siasatan lanjut.

Kes akan siasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya manakala kesalahan memiliki pistol dan peluru akan disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

No comments:

Post a Comment