Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Polis teliti percakapan Shamsul



SHAH ALAM 5 Okt. - Polis akan meneliti rakaman percakapan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang diambil hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuduhannya yang mengaitkan pasukan keselamatan itu dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan melihat hasil siasatan secara keseluruhan sebelum membuat sebarang keputusan.
"Sebarang keputusan yang diambil akan diumumkan nanti," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Shamsul Iskandar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk dirakam percakapannya hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri IPK Selangor yang dihadiri pegawai-pegawai kanan dan kakitangan polis serta beberapa bekas pegawai kanan pasukan antaranya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Norian Mai.
Sehubungan itu Khalid menasihatkan semua pihak tidak membuat kenyataan boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kerunsingan orang ramai terutama melibatkan kes-kes penting yang masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment