Search This Blog

Friday, October 15, 2010

‘Perkampungan’ pendatang diserbu

sumber


SUNGAI BULOH – Sebuah tapak semaian berhampiran Hospital Sungai Buloh dekat sini bukan saja menempatkan ‘perkampungan’ pendatang asing tanpa izin, tapi turut menjadi tempat berkumpul pendatang lain terdiri daripada ahli keluarga mereka, bagi menyambut Aidilfitri, baru-baru ini.

Dalam kawasan seluas lebih kurang 10 ekar itu, terdapat perumahan haram yang boleh menempatkan lebih 100 penghuni.

Pada siang hari, tapak semaian itu tidak memperlihatkan kehadiran pendatang asing yang ramai, tetapi senario itu berubah bila menjelang malam.

Bukan hanya tidur dalam rumah yang dibina, malah longkang berhampiran Plaza Tol Hospital Sungai Buloh juga dijadikan tempat tidur dengan beralaskan papan lapis.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 3 pagi semalam, seramai 30 termasuk tujuh wanita warga Indonesia, berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, diberkas.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi berkata, kegiatan mereka terbongkar selepas pihaknya melakukan risikan selama seminggu dengan menyamar sebagai pembeli di tapak semaian berkenaan.

“Berdasarkan risikan itu, kami menyerbu tapak semaian itu dan hasilnya kami memberkas semua mereka yang didapati melanggar kesalahan antaranya tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

“Semua mereka akan ditahan lanjut untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke pusat tahanan,” katanya, semalam.

Sinar Harian yang turut sama dalam operasi itu melihat beberapa pendatang asing berjaya meloloskan diri daripada diberkas penguat kuasa.

Di situ juga terdapat ‘lubang-lubang tikus’ yang dijadikan laluan masuk pendatang asing ke ‘perkampungan’ itu, yang dihuni sejak dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pemilik tapak semaian itu akan dikesan bagi membantu siasatan dan jika didapati bersalah, individu itu boleh dikenakan tindakan kerana dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya melanggar peruntukan akta.

“Pendatang asing tanpa izin yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(C) dan seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002,” katanya.

No comments:

Post a Comment