Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Penduduk bertempiaran Merapi meletup lagi

HARGOBINANGUN, (Indonesia): Gunung Merapi di Indonesia yang meletup lagi pada awal pagi, semalam mencetuskan keadaan huru-hara apabila penduduk yang panik bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Letupan kuat yang berlaku kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan itu menyebabkan puluhan anggota tentera dan polis yang berkawal dekat kaki gunung serta beratus-ratus penduduk bergegas meninggalkan tempat itu menggunakan kereta dan motosikal.

Menurut sumber rasmi, tiada nyawa terkorban dalam kejadian letupan terbaru itu walaupun kakitangan hospital melaporkan dua orang terbunuh ekoran keadaan huru-hara yang berlaku. Setakat ini, 36 orang disahkan menjadi mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan Gunung Merapi yang belaku pada Selasa lalu.

Penduduk, Kris Budianto, 51, memberitahu dia jatuh dari motosikal ketika terburu-buru untuk menyelamatkan diri. “Saya sedang tidur di veranda rumah apabila bunyi letupan kuat seperti guruh mengejutkan saya,” kata Kris.

“Saya bingkas bangun lalu terus menaiki motosikal dalam keadaan panik untuk menyelamatkan diri, tetapi dalam perjalanan saya terjatuh dari motosikal,” katanya yang cedera di muka dan patah tangan kanan.

Debu panas menyelubungi lapangan terbang Yogyakarta hingga sejauh 26 kilometer menyebabkan ia ditutup lebih sejam untuk pekerja membersihkan kawasan landasan.
Sementara itu, pegawai bencana alam kerajaan, Subandrio tidak menolak kemungkinan akan berlaku insiden letupan susulan.

“Kami menjangkakan akan berlaku letupan susulan kerana kami menemui banyak lagi kegiatan magma di kawah Merapi,” kata Subandrio. - AFP

No comments:

Post a Comment