Search This Blog

Tuesday, October 12, 2010

Pemandu lori lemas ketika menjala



TEMERLOH – Seorang pemandu lori ditemui lemas selepas keluar menjala ikan di Sungai Pahang dekat pam pasir Kampung Buntut Pulau di sini, jam 10 pagi semalam. 

Mangsa Arman Hamir Hassan, 38, lemas selepas cuba meranduk air untuk pulang selepas selesai menjala ikan di atas paip besi pam pasir terbabit kira-kira jam 6.30 petang kelmarin. 

Bapa mangsa Hamir Hassan Ramli, 61, berkata, selepas selesai menjala mangsa cuba meranduk air sungai sedalam kira-kira 1.2 meter dengan melilitkan jala di leher. 

Menurutnya, mangsa bagaimanapun melalui kawasan air dalam dan pada masa sama jala yang dibawa terbelit pada kepalanya menyebabkannya sukar untuk berenang ke tebing sungai. 

“Ada saksi nampak mangsa ketika mula lemas dan cuba menyelamatkannya tetapi mangsa hilang serta tenggelam ke dasar sungai,” katanya sewaktu ditemui di tempat kejadian pagi, semalam. 

Sementara itu bapa saudara sepupu mangsa Hamdan Sulaiman 52 berkata, pada kebiasaannya mangsa akan ke rumahnya meminjam bot untuk pergi menjala. 

Menurutnya, kebetulan semalam bot dipinjam orang lain menyebabkan mangsa keluar memancing dengan berjalan kaki menyusuri tebing sungai. 

“Memang dia biasa dengan persekitaran dan keadaan sungai di sini kerana akan menjala ikan setiap kali cuti. Tapi semalam nasib dia tidak baik,” katanya. 

Turut kelihatan di lokasi kejadian semalam ahli keluarga mangsa termasuk anak bongsunya Mohd Epi Hidaya, 11, manakala anak sulung mangsa Mohd Arafat, 15, sedang menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Cermin. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin turut meninjau gerakan mencari mangsa pagi semalam. 

Menurutnya, beliau menerima berita kejadian malam kelmarin dan hadir bersama Pegawai Daerah Datuk Dr Sallehuddin Ishak pagi semalam. 

“Polis menerima laporan daripada orang awam petang semalam dan gerakan awal mencari dimulakan malam, semalam. 

“Bagaimanapun selepas cuaca gelap gerakan mencari dihentikan dan disambung kira-kira jam 8 pagi ini (semalam). 

“Selepas dua jam mayat mangsa berjaya ditemui orang kampung kira-kira 20 meter dari tempat dia mula jatuh,” katanya. 

Mohd Sharkar berkata, gerakan mencari semalam disertai lebih 20 penyelamat terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung. 

Sementara itu bapa mangsa, Hami Hassan berkata, mangsa duda anak dua pernah bekerja di Johor sebelum bercerai dengan isterinya dan pindah bersama anak-anaknya dan menetap di Taman Bukit Cermin, Mentakab. 

Menurutnya, dia biasanya dengan tempat kejadian yang juga kampung asalnya dan sering kali pergi menjala seorang diri. Mayat mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Buntut Pulau. 

No comments:

Post a Comment