Search This Blog

Sunday, October 24, 2010

Pemancing lemas air laut bergelora

PORT DICKSON: Memilukan apabila seorang lelaki yang memancing dan menjala ikan di pantai Telok Pelandok, Batu 10, di sini, ditemui lemas kerana dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri apabila air laut bergelora, kelmarin.
Mayat mangsa dikenali sebagai Mohd Azhari Tahari, 41, ditemui anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat di sekitar Pulau Judi, Batu 12, kira-kira jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, mangsa sebelum itu dikatakan memancing dan menjala ikan bersama empat rakannya di kawasan pantai berkenaan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati keadaan bertukar kecoh apabila mereka menyedari laut tiba-tiba bergelora, menyebabkan mereka segera menyelamatkan diri menuju ke tepi pantai, namun terkejut mendapati mangsa hilang,” katanya di sini, semalam.

Menurut Baljeet, selepas usaha mencari mangsa gagal membuahkan hasil, mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui di Pulau Judi dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan mayatnya dituntut ahli keluarga,” katanya.

Berikutan kejadian itu, sebagai langkah keselamatan, Baljeet menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi atau melakukan aktiviti pantai di luar kawasan umum atau yang diwartakan selamat.

“Ini kerana tidak semua pesisiran pantai Port Dickson sesuai untuk sebarang aktiviti dan ia turut mengundang bahaya kepada orang awam,” katanya.

No comments:

Post a Comment