Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Pelajar cedera dibelasah jaga




KUANTAN - Seorang remaja terpaksa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan gara-gara dipukul seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di sini sehingga pengsan dalam satu kejadian, kelmarin. 

Azri (bukan nama sebenar) berusia 13 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini mendakwa, akibat pukulan pengawal itu dia juga cedera di dahi, pipi dan belakang tengkuk. 

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dia bersama beberapa rakan datang ke sekolah rendah terbabit untuk menyaksikan acara sukan tahun yang dianjurkan di situ. 

“Saya terserempak dengan pengawal berusia dalam lingkungan 30-an itu ketika masuk ke pekarangan sekolah dan dia membenarkan kami menyaksikan acara sukan tersebut. 

“Bagaimanapun dia berpesan supaya kami tidak membuat kacau atau merosakkan harta benda sekolah dan kami tidak melakukannya,” dakwanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Azri berkata, dia bersama rakannya naik ke tingkat satu untuk menyaksikan acara sukan itu bagaimanapun pengawal terbabit tiba-tiba naik dan mengejar mereka sehingga ada yang terjatuh. 

“Saya juga turut terjatuh setelah terlanggar kaki rakan dan tidak sempat melarikan diri akibatnya saya ditampar dan dihentak ke dinding hingga pengsan oleh lelaki itu. 

“Dua rakan saya berusia 14 tahun yang cuba membantu turut menerima nasib sama bagaimanapun tidak seteruk yang saya alami,” katanya. 

Menurutnya, dia yang tidak sedarkan diri dibawa turun sebelum cuba disedarkan pengawal terbabit dengan menggunakan air. 

“Lepas tu saya dibawa ke rumah seorang rakan sebelum ibunya menghantar saya menerima rawatan di Klinik Balok sebelum dirujuk ke HTAA,”katanya. 

Dia berkata, kejadian sudah dimaklumkan kepada kedua ibu bapanya dan mereka difahamkan ada mencari lelaki terbabit di sekolah itu untuk mendapatkan penjelasan bagaimanapun gagal. 

Anak bongsu daripada lima beradik itu ternyata kesal dengan tindakan pengawal terbabit yang bertindak sedemikian tanpa sebarang sebab dan bercadang akan membuat laporan polis.

No comments:

Post a Comment