Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Pegawai kilang lindungi 20 PATI ditahan


ALOR SETAR 12 Okt. - Seorang pegawai sumber manusia di sebuah kilang papan di Sungai Petani dekat sini ditahan kerana disyaki melindungi 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi Jabatan Imigresen negeri semalam.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditangkap bersama 20 lelaki warga Bangladesh dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 4.15 petang.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Hatta Kassim berkata, seramai 25 orang pegawai telah menyertai 'Ops Mahir' itu dan pihaknya telah memeriksa 96 orang pekerja warga asing berumur 20 hingga 40 tahun yang bekerja di kilang tersebut.
"Hasil pemeriksaan, seramai 20 pekerja warga Bangladesh ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan permit pekerjaan.
"Pegawai sumber manusia tersebut yang merupakan warga tempatan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya percaya PATI tersebut telah bekerja di kilang tersebut sejak enam bulan lalu.
"Pihak kami pernah menyerbu kilang yang sama pada tahun lalu dan menahan beberapa pekerja asing namun masih ada PATI yang bekerja di kilang ini," ujarnya.
Katanya lagi, kesemua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik untuk tindakan lanjut.
Operasi itu berakhir kira-kira pukul 6 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, katanya.

No comments:

Post a Comment