Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Pegawai Jabatan Perhutanan diacu parang




SHAH ALAM – Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Selangor mengalami detik mencemaskan apabila lehernya diacukan parang oleh dua lelaki warga asing dalam kejadian di kawasan hutan simpan, Pulau Tengah, berdekatan Pulau Ketam, Klang, di sini Khamis lalu. 

Mohd Noorizan Manan, 28, yang ketika itu bersama seorang pemandu bot swasta yang disewa untuk operasi itu sedang menunggu pegawai perhutanan lain untuk membawa keluar kayu bakau yang sudah disita dari salah sebuah anak sungai di kawasan tersebut. 

Mohd Noorizan berkata, tiba-tiba datang dua lelaki yang menaiki bot kecil ke arah mereka dan dengan pantas salah seorang daripada mereka terus menaiki bot dan meletakkan parang ke lehernya sebelum membawanya ke tengah laut. 

“Pada awalnya, saya ingatkan mereka pemancing tetapi apabila salah seorang daripadanya mengacukan parang ke leher saya menyebabkan pemandu bot yang bersama-sama saya terus memecut bot untuk keluar bagi mendapatkan bantuan. 

“Saya hanya menurut arahan dua lelaki, dipercayai pendatang asing sehingga mereka membawa saya berlegar di laut selama kira-kira 20 hingga 30 minit,” katanya, semalam. 

Menurutnya, Noorizan yang ketika ini sedang bertugas memantau kayu bakau di laut memberitahu, kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu mengugut dan memarahinya berikutan operasi yang dijalankan Jabatan Perhutanan negeri baru-baru ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mohd Noorizan dikatakan sedang menjalankan tugas untuk memunggah kayu bakau yang telah di sita Jabatan Perhutanan negeri. 

“Ketika sedang menunggu rakan sekerja yang lain, tiba-tiba datang dua lelaki warga asing yang tidak dikenali bersenjatakan parang panjang sebelum suspek mengarahkan mangsa mengikut arahan yang diberikan.

No comments:

Post a Comment