Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Pantai berhantu


Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/10/15

15 kes lemas dilaporkan sejak sepuluh tahun lalu 

MIRI: Amaran tidak diendah, larangan tidak dipatuhi - itulah keadaan yang berlaku di Pantai Tanjung Lobang dekat sini.Biar pun terpampang tanda amaran melarang pengunjung mandi, bermain ombak dan mendekati kawasan pantai Tanjung Lobang, namun ia sama sekali tidak diendahkan. Orang ramai, khususnya pada hujung minggu ternyata tidak menghiraukan keselamatan mereka dan terus mandi-manda serta bermain ombak di tepi pantai berkenaan, tanpa menghiraukan bahaya yang boleh menimpa.
Mereka bagaikan tidak peduli dengan ombak tinggi dan berbahaya, terutama ketika cuaca tidak menentu seperti sekarang, menjelang musim tengkujuh. 

Bukan tidak pernah berlaku, sudah 15 kes lemas dilaporkan di situ sejak 10 tahun lalu, termasuk dua kes awal tahun ini, sehingga ada kalangan penduduk tempatan menyifatkan pantai itu sebagai ‘berhantu’. 

Namun bagaikan tidak takut dan tidak serik, masih ramai yang mandi-manda di situ terutama pada hujung minggu. 
Seorang pengawal keselamatan yang enggan namanya disiarkan berkata, pengunjung tidak takut mandi dan bermain ombak di kawasan pantai itu walaupun mereka mengetahui bahaya sentiasa menunggu. 

“Sekarang cuaca tidak menentu, ombak besar dan angin kencang berlaku di utara negeri ini sejak seminggu lalu. Namun, masih ada juga pengunjung yang tidak takut mandi dan bermain ombak di pantai Tanjung Lobang. 

“Kita sudah letak papan tanda dan notis amaran melarang mereka berbuat demikian, namun masih ramai yang berdegil,” katanya kepada Berita Harian. 

Difahamkan terdapat pasir jerlus di kawasan tepi pantai itu, sehingga menyebabkan mereka yang tidak pandai berenang mudah terperangkap dan lemas dihanyutkan arus deras atau ombak besar. 

Selain terkenal di kalangan penduduk tempatan, pantai Tanjung Lobang juga antara destinasi popular dijadikan sebagai tempat riadah pelancong negara jiran dari Brunei Darussalam. 

Penduduk Miri, Jimbai Undik, 37, berkata sebelum ini ada cadangan dikemukakan pihak berkuasa tempatan supaya mewujudkan pasukan keselamatan seperti meletakkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bertugas di pantai itu seperti yang dilakukan dekat pantai Luak khususnya pada hujung minggu. 

“Namun, sehingga sekarang usaha berkenaan belum diambil. Inilah kelemahan kita, yang mana kita hanya bertindak apabila ada berlaku sesuatu kejadian buruk. Selepas beberapa ketika kita mudah lupa terhadap tindakan yang dibincangkan. Ini tidak sepatutnya berlaku," katanya. 

Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati masih ramai pengunjung bermain dan mandi-manda di pantai berkenaan, termasuk ibu bapa yang membawa anak-anak kecil berkelah pada hujung minggu. 

No comments:

Post a Comment