Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Operasi selamatkan 33 pelombong Chile penuh berisiko


PASUKAN penyelamat membuat ujian menggunakan kapsul khas yang hendak digunakan bagi membawa naik 33 pelombong yang terperangkap di lombong San Jose, dekat Copiapo, Chile, kelmarin. - AP


SAN JOSE MINE 12 Okt. - Pengalaman ngeri yang dilalui sejak dua bulan lalu oleh 33 lelaki yang terperangkap jauh di dasar sebuah lombong di Chile dijangka berakhir dengan operasi berisiko mulai tengah malam ini untuk membawa mereka naik ke permukaan.
Proses rumit dan memakan masa untuk mengangkat setiap pelombong seorang demi seorang akan dimulakan sekitar tengah malam ini (11 pagi esok waktu Malaysia), menurut Menteri Perlombongan, Laurence Golborne.
"Operasi menyelamat semakin hampir," kata Presiden Chile, Sebastian Pinera yang bercakap dari Ecuador tetapi merancang untuk berada di lokasi untuk menemui ahli keluarga pelombong menjelang detik yang beliau sifatkan sebagai 'sangat istimewa'.
Pasukan penyelamat semalam selesai menjalankan ujian menggunakan kapsul logam berdiameter 53 sentimeter yang akan mengangkat setiap pelombong keluar dari bawah tanah, dalam operasi yang boleh memakan masa 48 jam.
"Alangkah baiknya jika operasi boleh dipercepatkan sedikit tetapi kita tidak akan tergesa-gesa," kata Golborne.
Pelombong terlibat sudah mencatatkan rekod baru terperangkap paling lama dalam situasi sedemikian tetapi menjelang detik mendebarkan itu, mereka mula menunjukkan tanda-tanda tidak sabar dan kebimbangan tentang operasi tersebut.
"Seperti rakan-rakannya, dia menantikan ketibaan hari apabila dia boleh keluar. Mereka berdoa untuk meredakan ketegangan.
Dia tidak mahu menjadi orang pertama kerana dia takut. Tiada seorang pun yang mahu menjadi orang pertama. Boleh awak bayangkan dibawa naik dari paras 700 meter di bawah tanah?," kata Alberto Segovia yang bercakap dengan saudara lelakinya yang terperangkap, Dario Segovia menerusi talian video.
Pelombong terdiri daripada 32 rakyat Chile dan seorang warga Bolivia itu terperangkap sejak lombong emas dan tembaga San Jose di utara Chile runtuh pada 5 Ogos lalu, menyebabkan laluan keluar tersekat. - AFP

No comments:

Post a Comment