Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Nahas bas ekspres ragut satu lagi nyawa


15/10/2010 7:54pm

MELAKA – Seorang lagi mangsa kemalangan ngeri yang membabitkan bas ekspres di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Ahad lepas, meninggal dunia di Hospital Melaka (HM) hari ini, menjadikan jumlah korban tragedi itu kini berjumlah 13 orang.
Pemangku Pengarah HM, Dr Abdul Raof Jaafar berkata, Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20, dari Terengganu yang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kecederaan parah di kepala, meninggal dunia pukul 12 tengah malam tadi.
Sharifah adalah penuntut Institut Pendidikan Guru di Lembah Pantai, Kuala Lumpur jurusan Bahasa Melayu.
"Sementara itu dua lagi yang dirawat di HM iaitu pemandu bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Umar Yusop, 31 dan Hazalizah Paiman, 24, dibenarkan pulang ke rumah petang tadi,” kata Dr Abdul Raof di sini hari ini.
Menurutnya hanya seorang mangsa kemalangan, Shanor Amer Mohamad, 18, masih dirawat bagi menjalani pembedahan tulang rahang. – Bernama

No comments:

Post a Comment