Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Musnah dalam sekelip mata




SEBERANG PERAK - “Saya hanya mampu melihat rumahnya terbakar dan tidak dapat menolong kerana api terlalu marak," kata Razali Mat Zin, 53, apabila rumah jirannya, Othman Talib, 60, musnah dalam satu kebakaran di Kampung Parit Aman Sungai Baya pada jam 8.30 pagi, semalam. 

Razali berkata, pada mulanya dia melihat meter elektrik di rumah Othman meletup sebelum mengeluarkan api dan dia terus berlari ke rumah itu untuk membantu, namun api terlalu besar sehingga menyebabkan rumah Othman hangus sekelip mata. 

Menurutnya, ketika kejadian Othman sedang bekerja di sawahnya. 

"Pada masa itu, saya juga sedang bekerja di sawah di hadapan rumah Othman dan terdengar satu letupan kuat di rumah Othman. 

“Walaupun saya sempat datang ke rumah ini, namun tidak ada apa yang dapat diselamatkan,” katanya. 

Manakala, Othman berkata, dia berada di sawah di belakang rumahnya dan turut mendengar letupan kuat dan disusuli kepulan asap.

“Apabila melihat kepulan asap itu, saya terus berlari ke rumah, namun api begitu marak dan segala barang tidak dapat diselamatkan.

“Namun saya bersyukur kerana anak dan isteri Ramlah Ismail, 42, terselamat,” katanya yang mempunyai empat anak. 

Menurutnya, ketika kejadian isteri dan anaknya yang berumur dua tahun sedang berehat di rumah. 

“Anggaran kerugian yang dialami dalam kebakaran ini sebanyak RM250,000 kerana sebuah kereta, tiga motosikal, duit RM3,000, dua peti ais dan barang lain musnah. 

“Kini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggan dan perlu mencari tempat lain untuk menumpang tidur sementara mendapat rumah lain,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar Zaiful Efendi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.36 pagi dan sampai ke tempat kejadian pada jam 9.12 pagi. 

“Kami dapat mengawal keadaan 38 minit kemudian dengan dibantu lima anggota bomba dari Seri Iskandar dan Teluk Intan. 

“Anggaran kerugian juga masih dalam siasatan, namun berdasarkan anggaran Othman mengatakan kerugian lebih kurang RM250,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment