Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

'Mengapa sekarang'

KUALA LUMPUR: “Mengapa baru sekarang dia mendakwa tanah berkenaan miliknya selepas hampir 19 tahun perkara ini berlaku,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail mengulas dakwaan seorang penduduk Kampung Haji Abdullah Hukum yang mendakwa memiliki hampir 15 ekar (6 hektar) daripada 24 ekar (9.6 hektar) tanah di kawasan antara Mid Valley Megamall dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam laporan beberapa akhbar sebelum ini, penduduk, S V Sugayindran, 55, mendakwa dia dan keluarganya tinggal di kawasan berkenaan sejak lima generasi lalu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mempunyai hak untuk mengganggu kawasan berkenaan. Menurut Ahmad Fuad, tanah berkeluasan 9.6 hektar itu dianugerahkan kerajaan kepada DBKL untuk dibangunkan bersama SP Setia Bhd Group pada 1991.
Katanya, satu projek usahasama antara anak syarikat SP Setia Bhd Group, KL Eco City Sdn Bhd dan DBKL untuk membangunkan tanah itu dengan perancangan membina kondominium dan blok pejabat serta stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) selain jambatan yang menghubungkan Kampung Haji Abdullah Hukum ke Mid Valley Megamall.

“Pemaju mempunyai dokumen hak milik tanah serta dokumen yang menunjukkan mereka ada menjelaskan cukai dalam tempoh itu.

“Mengapa baru sekarang dia membangkitkan isu ini sedangkan dia mendakwa memiliki hampir enam hektar tanah di kawasan berkenaan. Jika benar tanah itu miliknya, dia perlu menunjukkan bukti kerana berdasarkan rekod sedia ada, kami tidak mempunyai bukti dia ada membayar cukai tanah atau cukai pintu,” katanya dalam sidang media berkenaan Status Tanah di Tapak Projek Eco City di sini, semalam.

Selepas laporan mengenai penduduk itu dikeluarkan beberapa akhbar, katanya, ia seolah-olah menunjukkan DBKL bersikap diskriminasi kepada rakyat sedangkan kebanyakan penduduk di kawasan yang dahulunya kawasan setinggan sudah berpindah dan penduduk itu terakhir yang belum berpindah.

Dalam laporan sebelum ini, Sugayindran mendakwa tanah berkenaan milik mendiang ayahnya dan mendakwa dia mempunyai dokumen yang membuktikan tanah itu milik mendiang ayahnya.

No comments:

Post a Comment