Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Mati di rumah terbuka



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Tetamu yang menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor di Jalan Bukit Kerajaan, Kuala Kubu Bharu di sini hari ini, gempar apabila seorang lelaki tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.
Sebelum itu, majlis tersebut berlangsung meriah dengan tetamu gembira menjamu selera sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kemeriahan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula pukul 12 tengah hari sehingga 4 petang itu terbantut apabila Ketua Kerani di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Mohd. Adnan Dol Ghani, 57, rebah secara tiba-tiba.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang semasa Mohd. Adnan sedang bergembira menikmati hidangan sambil berbual-bual dengan rakan setugas dan tetamu lain.
"Mangsa yang tidak sedarkan diri segera dibantu oleh rakan-rakannya namun meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu.
"Mangsa disahkan mati pada pukul 3.15 petang dipercayai akibat serangan sakit jantung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Norel Azmi berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, Mohd. Adnan sudah lima tahun berkhidmat sebagai Ketua Kerani di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.

No comments:

Post a Comment