Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Mangsa syak peragut sama




KUANTAN – “Saya hanya mampu memeluk erat anak kecil berusia 11 bulan di depan dan membiarkan mereka mengambil beg duit di dalam raga motosikal,” kata ibu tunggal, mangsa ragut di Taman Impian, Jalan Sungai Lembing dekat sini. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu hanya satu kilometer dari tempat mangsa ragut, Noresah Mat Isa, 24, yang dimasukkan ke hospital Jumaat lalu. 

Mangsa terbabit, Sarina Abdul Basid, 31, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari Taman Impian dan tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal dari arah belakang lalu menjerit ke arahnya supaya memberhentikan motosikalnya. 

“Memikirkan keselamatan anak yang berdiri dalam bakul motosikal, saya berhenti tetapi mereka terus mengambil beg duit saya yang diletakkan di bawah baju,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. 

Katanya, ketika itu dia tidak mampu menjerit dan menyerahkan beg duit kerana tidak mahu anaknya cedera. 

“Bagaimanapun, lelaki terbabit terus memecut motosikal yang ditungganginya apabila abang saya kebetulan melalui tempat itu,” katanya yang mengesyaki lelaki sama dalam kejadian sebelum ini. 

Sementara itu, abangnya, Shahrim Abdul Basid, berkata, ketika melalui tempat itu, dia mengesyaki adiknya mengalami masalah. 

“Saya terus mengejar lelaki itu kerana percaya dia meragut beg adik saya. Bagaimanapun saya tidak dapat mengikut mereka selepas melalui jalan raya menuju ke Jaya Gading yang agak sesak dengan kenderaan,” katanya. 

Shahrin berkata, dia dapat melihat dengan jelas dua lelaki itu dan berharap pihak polis dapat melakukan tindakan susulan bagi menangkap dua lelaki itu sebelum individu lain menjadi mangsa. 

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang dihubungi, Norhasmida Abdul Kadir berkata, dia menaiki motosikal untuk ke bengkel suami di Taman Impian pada jam 12 tengahari, tiba-tiba seorang lelaki menjerkahnya supaya berhenti. 

Katanya, lelaki itu sepantas kilat merentap rantai lehernya dan mengambil beg duit dalam motosikalnya. 

“Seperti hari-hari biasa saya melalui jalan itu tetapi tidak menyangka ada peragut yang mungkin memerhatikan,” katanya yang mengesyaki orang sama yang meragut mangsa mereka. 

Mangsa keempat di jalan yang sama ialah Nor Emilianiza Zahid, 21, dia menunggang motosikal bersama adiknya manakala anaknya yang berusia 10 bulan berdiri di dalam raga bahagian depan. 

Ketika itu mereka didatangi lelaki yang menunggang motosikal dan menjerit menyebabkan mereka terkejut dan hampir terjatuh. 

“Lelaki itu menengking kami dan terus menarik beg di dalam raga tetapi tersangkut di bahagian tempat duduk. Ketika itu kami terus menjerit dan lelaki terus melarikan diri tanpa mengambil beg saya,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusiff berkata, polis menerima laporan berkenaan dan kini sedang menyiasat kes itu dan menjalankan pemantauan di tempat kejadian. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak meletakkan beg duit di dalam raga motosikal kerana boleh mengundang bahaya selain menunggang motosikal mengikut undang-undang dan tidak secara berbahaya.

No comments:

Post a Comment