Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Mangsa nampak adik terpelanting keluar tingkap



KUALA LUMPUR 30 Okt. – Mangsa kemalangan bas persiaran di Kilometer 38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, menyaksikan sendiri adiknya terpelanting keluar dari tingkap kenderaan itu sebelum ditemui mati di dalam longkang.
Mohammad Akram Abdul Mustaffa, 19, berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian tengah bas manakala adiknya, Mohammad Fahimi, 15, di tempat duduk hadapan.
Mohammad Akram yang menceritakan detik cemas tersebut berkata, sejurus selepas itu, dia juga turut tercampak keluar dari dalam bas berkenaan.
Tambahnya, semasa kejadian, bas itu dalam keadaan laju dipercayai akibat hilang kawalan.
“Saya nampak Muhd. Fahimi terpelanting keluar ikut tingkap disusuli jeritan penumpang Allahuakbar berulang kali sebelum saya pula tercampak.
“Dalam keadaan cemas dan kesakitan itu, salah seorang rakan meminta saya pergi melihat Fahimi. Luluh hati apabila melihat adik saya dalam keadaan tidak bernyawa dengan kulit kepalanya terkoyak,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, ibu Mohd. Ajril Azizi Azhari, 16, pula tidak percaya apabila anak tunggalnya tersebut menghubunginya dan memaklumkan sedang tersepit kerana terlibat dalam kemalangan.
Haizam Hassan, 37, berkata, dia mendapat panggilan daripada Mohd. Ajril sejurus selesai menunaikan solat Maghrib.
“Mohd. Ajril Azizi menyatakan sedang tersepit bas. Saya ketawa kecil dan menjawab, abang jangan main-main sebelum talian tiba-tiba terputus.
“Selepas membuat tambah nilai kredit telefon, saya hubungi semula Ajril namun dia tidak jawab dan selepas itu barulah berasa tidak sedap hati,” katanya.
Katanya lagi, dia mendapat tahu kemalangan tersebut apabila dihubungi keluarganya tidak lama selepas itu.
Menurutnya, Mohd. Ajril menerima 15 jahitan di kepala, melecur sebahagian kanan anggota badannya selain kemungkinan patah jari-jari tangan kirinya.
Sementara itu, Mohd. Hafifi Yahya, 19, yang turut cedera dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama memberitahu, dia mendengar jeritan pemandu ‘brek tidak makan’ sebelum kemalangan.
“Sebahagian penumpang yang berada di bahagian hadapan lari ke belakang menyebabkan semua terhimpit.
“Dalam keadaan kelam kabut, saya dengar Ustaz Zaidi bertanya sama ada kami semua dalam keadaan baik. Namun sejurus selepas itu, saya pengsan,” katanya.
Tambahnya, dia tersedar semula apabila merasa ada orang lain menarik badannya yang dihimpit bas.
Dalam kejadian pukul 7.50 petang itu, sebuah bas persiaran yang dinaiki 44 penumpang Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Kedah terbabit dalam kemalangan semasa menuruni Genting Highlands di Kilometer 38, Genting Sempah dekat sini.
Bas berkenaan terbabas dan terbalik di laluan bertentangan serta mengakibatkan tujuh maut, 16 parah dan 21 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas tersebut.
Rombongan itu telah bertolak ke Kuala Lumpur dari Genting Highlands untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah, petang ini.

No comments:

Post a Comment