Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Malang bersuamikan kaki pukul




PASIR GUDANG – Penderitaan seorang isteri di Taman Cendana di sini tidak pernah berakhir apabila sering menjadi mangsa dipukul suami dan hidup dalam kesempitan apabila terpaksa menyara empat anak. 

Norshamsinar Temban, 44, berkata, kesabarannya hilang apabila suami bukan sahaja seorang yang tidak bertanggungjawab apabila tidak mahu bekerja, tetapi kerap memukulnya dan anak-anak. 

Menurutnya, suaminya ditahan polis dan dipenjarakan selama setahun setengah selepas dia membuat laporan dengan harapan suaminya akan berubah selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. 

“Saya ingat dia akan berubah selepas selalu berutus surat sepanjang dipenjara dan berjanji tidak akan bersikap seperti dulu, tetapi janji hanya tinggal janji apabila dia pulang masih memukul saya dan anak-anak. 

“Saya sedih kerana dia tidak bekerja, sedangkan saya yang mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga, tetapi masih memukul saya dan anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian. 

Norshamsinar berkata, suaminya kini masih dipenjara apabila ditahan polis bulan lepas selepas cuba mengugut untuk menikam anak perempuannya dengan pemutar skru. 

Menurutnya, anak lelakinya yang bersekolah tadika baru kembali memulakan sekolah minggu lepas selepas digantung sekolah kerana gagal menjelaskan tunggakan yuran sebanyak lebih RM500. 

“Hati saya sayu apabila setiap hari anak saya bertanya bila boleh ke sekolah lagi, sedangkan hendak makan pun susah apatah lagi hendak menjelaskan yuran yang tertunggak. 

“Demi anak saya tebalkan muka cuba memohon bantuan dengan pihak yang saya fikir boleh membantu saya, tetapi hampa dan sehingga sekarang wang RM100 yang diberikan masih tidak digunakan,” katanya. 

Norshamsinar berkata, hidupnya bertambah susah apabila terpaksa menanggung beban hutang anak sehingga sewa rumah tertunggak lebih RM4,000 dan bekalan air bersih terpaksa dipotong. 

Menurutnya, bekalan elektrik juga baru disambung kembali selepas separuh tunggakan dibayar dan kini menggunakan bekalan air secara haram walaupun sudah empat kali ditangkap. 

“Saya terpaksa mencuri bekalan air kerana keadaan saya yang terlalu terdesak dan tidak tahu untuk mendapatkan bantuan daripada siapa yang boleh membantu meringankan beban hidup yang kami tanggung. 

“Terima kasih kepada ustaz (Ketua Pusat Aduan Rakyat Cawangan Taman Cendana, Kelana Bakri) kerana bersusah payah membantu kami sehingga anak lelaki saya sudah boleh bersekolah kembali dan semua pihak yang sudi membantu,” katanya. 

Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada pihak sekolah kerana boleh bertimbang rasa dengan masalah yang dihadapi keluarga itu selepas dimaklumkan. 

Menurutnya, pihaknya juga akan berusaha memanjangkan masalah yang dihadapi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mempertimbangkan sebarang bentuk bantuan untuk meringankan beban keluarga berkenaan. 

“Kita akan berusaha menguruskan permohonan bantuan keluarga ini kepada pihak JKM terutama selepas melihat kesungguhan anaknya yang berumur enam tahun hendak bersekolah,” katanya

No comments:

Post a Comment