Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Mahkamah tolak rayuan mangsa 11 September 2001



WASHINGTON 5 Okt. – Ahli keluarga mangsa tragedi serangan 11 September 2001 gagal dalam usaha mereka untuk meminta Mahkamah Agung New York mengarahkan Bandar Raya New York menjalankan satu upacara pengebumian sewajarnya dengan mengumpulkan runtuhan bangunan mengandungi abu mangsa yang dipindahkan dari tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang runtuh ke sebuah lokasi lain.
Badan kehakiman semalam berkata, pihaknya tidak akan mendengar rayuan daripada keluarga mangsa terbabit yang terkorban setelah menara berkembar setinggi 110 tingkat itu ranap dalam serangan sembilan tahun lalu.
Mahkamah rendah persekutuan menolak tuntutan yang dikemukakan keluarga mangsa terhadap pihak berkuasa Bandar Raya New York City dengan menyatakan bahawa ia telah menjalankan tanggungjawab dengan memindahkan 1.6 juta tan serpihan bangunan dari tapak Ground Zero di Lower Manhattan ke sebuah lokasi di Pulau Staten, selain mencari serpihan tulang manusia.
Tiada serpihan tulang atau cebisan badan kira-kira 1,100 manusia ditemui daripada 2,752 mangsa yang maut dalam serangan tersebut.
Keluarga mangsa menyatakan bahawa lokasi menempatkan serpihan bangunan itu bukan satu tapak pengebumian sewajarnya.
Mereka turut mempersoalkan tentang 223,000 tan serpihan bangunan yang tidak pernah disentuh bagi mencari abu mangsa.
Pegawai berkata, serpihan bangunan yang dipindahkan itu adalah hasil pencarian selama 10 bulan secara manual dan menggunakan jentera bagi mengenal pasti bukti, barang milik mangsa serta serpihan dan bahagian anggota manusia.
Proses pencarian itu berjaya menemui hampir 20,000 cebisan dan tulang manusia yang dihantar ke pejabat pemeriksaan perubatan Bandar Raya New York bagi tujuan pengecaman sebelum diserahkan kepada waris. – AP

No comments:

Post a Comment