Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Lihat isteri dimamah api

sumberKUALA LUMPUR: Seorang suami hanya mampu melihat isterinya terbakar di dalam kereta selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan ngeri di Kilometer 5.2, Jalan Taman Connaught, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu kereta berusia 40-an itu sempat ditarik keluar oleh orang ramai yang cuba membantu sebaik menyedari kereta dinaiki mangsa mula terbakar.
Bagaimanapun, isteri mangsa yang tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduk hadapan tidak dapat ditarik keluar sebelum kereta itu terbakar dan meletup beberapa kali.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Honda City yang dinaiki mangsa bersama suaminya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Honda CRV.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta mangsa diheret kira-kira 100 meter. Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit berpusing dan merempuh pembahagi besi di tengah jalan sebelum terbakar,” katanya.

Menurutnya, beberapa pemandu kereta yang melihat kejadian itu membantu mengeluarkan mangsa sebaik menyedari api mula marak membakar kereta mangsa.

“Bagaimanapun, hanya suami mangsa berjaya dikeluarkan manakala isterinya, Loo Chooi Wen, 42, gagal diselamatkan. Identiti suami mangsa belum dikenal pasti.

“Pada masa sama, pemandu Honda CRV yang merempuh mangsa berjaya ditarik keluar oleh orang awam. Kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya.

Bagaimanapun, pemandu CRV terbabit hanya cedera ringan.

Katanya, satu jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak dipanggil bagi memadamkan kebakaran sebelum mengeluarkan mayat mangsa yang rentung.

“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Berdasarkan siasatan, polis menemui kesan brek pada permukaan jalan menunjukkan kenderaan terbabit cuba berhenti selepas berlanggar, namun diseret hingga merempuh besi penghadang jalan,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment