Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Lif sering menjunam

PETALING JAYA: Bukan satu, sebaliknya lif di empat blok Pangsapuri Impian Baiduri, di sini, rosak teruk menyebabkan penduduk bimbang kejadian lif terhempas yang berlaku di Blok A kediaman itu, minggu lalu berulang.


BIMBANG...kanak-kanak terpaksa menuggu penjaga untuk menaiki lif di Pangsapuri Impian Baiduri.
BIMBANG...kanak-kanak terpaksa menuggu penjaga untuk menaiki lif di Pangsapuri Impian Baiduri.

Malah, beberapa penduduk mendakwa sering berhadapan masalah lif rosak dan menjunam tiba-tiba, tetapi bernasib baik kerana tidak cedera seperti yang menimpa empat penduduk di Blok A terbabit.
Mereka mendakwa kerosakan lif berlaku lebih lima bulan lalu, tetapi tidak diendahkan kerana penduduk menganggapnya perkara biasa, tetapi selepas kejadian minggu lalu yang mencederakan empat mangsa di Blok A, ia kini menjadi mimpi ngeri.

Tinjauan Harian Metro di kawasan terbabit mendapati, hanya satu lif setiap blok boleh digunakan menyebabkan penduduk perlu menunggu lebih sejam untuk naik ke rumah.

Suri rumah, Nur Farhana Hayati Abd Hamid, 42, yang tinggal di Blok D mengakui lebih 10 kali dia mengalami detik lif terhempas dari tingkat lima ke bawah, tetapi tidak cedera. Katanya, pengalaman itu mengerikan kerana boleh meragut nyawa penduduk lebih-lebih lagi kanak-kanak.

“Jika sebelum ini, penduduk buat tak tahu dengan lif terhempas dan menganggapnya perkara biasa, tetapi selepas apa yang terjadi pada rakan membuatkan kami trauma untuk menghadapi situasi ini.

“Kami mahu pihak terbabit membaiki kerosakan lif yang semakin meruncing yang berlarutan sejak empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Impian Baiduri, di sini, semalam.

Menurutnya, aduan sudah dibuat kepada pengurusan, tetapi tidak diendahkan dan mereka memberi alasan tiada wang atau peruntukan.

Pesara swasta, N Sivam, 60, berkata setiap blok didiami lebih 1,000 penduduk sedangkan satu lif saja berfungsi hingga menyusahkan kerana perlu menunggu giliran untuk naik ke rumah.

“Kami menunggu lebih satu jam untuk menggunakan lif dan mengalami masalah apabila ia dinaiki lebih lima orang kerana lif akan terhempas tiba-tiba.

“Setiap hari kami perlu menghadapi situasi berkenaan yang membosankan kerana masalah ini tiada penghujung,” katanya.
Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan maklum balas mengenai masalah itu daripada pihak berwajib tidak berhasil kerana mereka masih menyiasat hal itu termasuk pengurusan serta Lembaga Perumahan dan Hal Tanah Selangor.

No comments:

Post a Comment