Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Lelaki Peru guna kaki panjang untuk mencuri beg pelancong asing berjaya diberkas



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Seorang lelaki warga Peru berusia 50 tahun menggunakan kemahiran kakinya yang panjang untuk menarik beg pelancong sebelum melarikannya.
Suspek yang dikehendaki polis kerana dipercayai sering mencuri barangan pelancong asing di ibu negara akhirnya berjaya diberkas, semalam.
Jurucakap polis berkata, suspek yang terkenal dengan nama jolokan 'toyol' itu ditahan selepas cuba mencuri sebuah beg milik pelancong warga Indonesia di sebuah restoran di pusat beli belah di Bukit Bintang di sini.
"Ketika pelancong berkenaan sedang menunggu makanan yang dipesan di restoran itu, mangsa berusia 42 tahun terkejut apabila beg pakaian miliknya diletakkan di bawah meja tiba-tiba hilang.
"Mangsa turut panik kerana beg itu mengandungi wang tunai dolar Amerika Syarikat berjumlah AS$3,000 (RM9,300) serta lima pasport milik keluarganya.
"Ketika mangsa bangun dan memeriksa keadaan sekelilingnya, dia ternampak suspek yang turut berada di meja makan berhampiran memegang beg miliknya," katanya di sini hari ini.
Jurucakap itu menambah, mangsa kemudian mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk memeriksa beg yang dipegang suspek.
Jelasnya, seorang pekerja restoran turut mendakwa pernah melihat suspek tersebut menarik beg mangsa dengan menggunakan kakinya sebelum itu.
"Suspek kemudian ditahan oleh sekumpulan pengawal keselamatan selepas dia kelihatan cuba melarikan diri setelah menyedari mangsa mula mengesyaki dirinya.
"Dengan bantuan anggota polis peronda, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut. Suspek kemudian mengaku terlibat dengan berpuluh-puluh kecurian," ujarnya.
Suspek kini ditahan reman selama 14 hari bagi siasatan lanjut mengenai jenayah yang dilakukannya.
Difahamkan suspek sebelum ini pernah menggunakan kakinya untuk menarik dan melarikan sebuah beg tangan seorang pelancong wanita warga Britain berusia 46 tahun yang diletakkan di bawah meja di sebuah kafe siber di Jalan Imbi.
Berikutan itu wanita tersebut kehilangan wang tunai sebanyak RM6,000.
Seorang pelancong dari Belanda berusia 29 tahun pula menjadi mangsa apabila beg miliknya dilarikan ketika sedang membeli belah di Bukit Bintang.

No comments:

Post a Comment