Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Lelaki maut dilanggar pacuan empat roda semasa lintas lebuh raya

IPOH: Seorang lelaki terbunuh selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda semasa dia menyeberang Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kawasan Rehat dan Rawat Simpang Pulai di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, yang terbunuh dalam kejadian jam 4 pagi itu dikenali sebagai Sardhol Singh a/l Jawinder Singh, 28, yang berasal dari Taman Seri Rapat, Ipoh.

"Dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemuda itu dirempuh oleh pacuan empat roda yang sedang menghala arah Kuala Lumpur, dan pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, dalam berdasarkan laporan pemandu kenderaan itu kejadian berlaku semasa keadaan jalan gelap, dan pemandu itu hanya menyedari yang kenderaannya terlanggar sesuatu apabila terdengar dentuman kuat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis trafik Ipoh mengeluarkan 84 saman kerana pelbagai kesalahan ke atas pemandu dan penunggang motosikal dalam Ops Samseng dari tengah malam tadi hingga 5 pagi ini.
Rodzi berkata, operasi di Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Silibin itu membabitkan lebih 50 anggota polis dan RELA.

Antara kesalahan yang dikesan ialah memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh, melanggar isyarat lampu merah, tidak meletakan pelekat "P", tidak mempunyai lesen, mengubah suai kenderaan serta nombor pendaftaran dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Rodzi berkata, polis turut merampas 31 buah motosikal serta menahan penunggang berumur antara 15 dan 30 tahun untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.-Bernama

No comments:

Post a Comment