Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Lelaki ditahan bantu kes bunuh jururawat

sumber http://www.bharian.com.my


2010/10/14

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang jururawat yang mayatnya ditemui separuh bogel dalam parit di belukar Taman Kingfisher, Jalan Sulaman dekat sini, pagi kelmarin. 

Lelaki itu yang juga tunang mangsa ditahan di sebuah premis di bandar raya ini petang kelmarin.Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Rowell Marong, berkata siasatan kes bunuh Annie John, 39, merangkumi pelbagai aspek termasuk cemburu serta orang terakhir yang dilihat bersamanya.“Kami sudah menyoal beberapa jururawat yang mengikuti kursus amali dua minggu di Universiti Terbuka Malaysia di Jalan Lintas bersama mangsa,’ katanya. 

“Tunang mangsa ditahan kerana dia adalah pihak yang rapat dengan mangsa. Soal sama ada dia suspek utama atau sebaliknya akan ditentukan selepas soal siasat terhadapnya selesai,” katanya di sini semalam. 

Selain itu, katanya, siasatan juga ditumpukan kepada aspek sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang ke dalam parit berkenaan. 

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada mangsa dirogol sebelum dibunuh. 
Mayat mangsa ditemui beberapa kanak-kanak yang mencari sayur di kawasan itu jam 11 pagi kelmarin dalam keadaan terlentang tanpa kain atau seluar manakala bahagian atas tubuhnya lengkap berpakaian. 

Siasatan mendapati ada kecederaan di dahi mangsa, dipercayai dipukul dengan objek tumpul. 

Annie yang bertugas di Hospital Kudat dikatakan ke rumah abangnya di Kampung Mahandoi, Penampang untuk mengikuti kursus itu. 

Mangsa dilaporkan keluar dari rumah berkenaan pada jam 3 petang Sabtu lalu tetapi tidak pulang, menyebabkan anggota keluarganya keluar mencari mangsa sebelum menemui kereta Perodua Kancil milik mangsa di tepi sebuah hotel berhampiran Dewan Masyarakat Kota Kinabalu di sini, jam 11 malam, Sabtu lalu. 

No comments:

Post a Comment