Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Kuli ladang sawit pakai kereta mewah

GOMBAK: Seorang pendatang asing warga Indonesia dikesan mampu hidup mewah dengan memiliki kereta model Mercedes-Benz walaupun hanya bekerja sebagai pemetik tandan kelapa sawit di negara ini.
Namun, rahsia kemewahan dimiliki terbongkar selepas lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit dikesan menjalankan kegiatan mencuri motosikal secara besar-besaran di daerah ini Kegiatan jenayahnya itu terbongkar selepas sepasukan polis menyerbu tempat tinggalnya di sebuah rumah kongsi di Taman Tasik Puteri, Batu Arang, di sini, semalam.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis memberkas suspek semasa melakukan ‘Ops Lejang’ di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit di kawasan terbabit.

Menurutnya, sebelum itu, polis mendapat maklumat kawasan rumah kongsi didiami suspek menjadi lokasi kumpulan pencuri motosikal warga asing menyembunyikan motosikal curi.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta Mercedes-Benz dan enam motosikal curi yang dilaporkan hilang di Klang, Petaling Jaya dan Brickfields.

“Siasatan mendapati kereta Mercedes-Benz yang ditemui itu menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala nombor casis pada enjin kenderaan terbabit sudah diubah suai bagi mengelakkan identiti asal kereta itu dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, selain kenderaan itu, polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek ketika menjalankan kegiatan jenayah. “Siasatan mendapati suspek adalah pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan namun pada masa sama turut terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

No comments:

Post a Comment