Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Korban banjir Thai cecah 100



PENDUDUK terpaksa menggunakan sampan di wilayah Ayutthaya yang terletak di sebelah utara Bangkok, semalam. - AFP


BANGKOK 30 Okt. - Angka korban akibat banjir besar di Thailand mencecah 100 hari ini, selepas enam lagi mayat termasuk tiga rakyat asing ditemui, walaupun banjir dilapor telah surut di beberapa kawasan.
Institut Perubatan Kecemasan Thailand dalam laporan terkininya menyatakan, antara mangsa yang ditemui mati hari ini ialah rakyat Belanda, Harald Vusser, 38, yang maut akibat renjatan elektrik atau lemas di wilayah Ayutthaya, utara Bangkok, semalam.
Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku ketika Vusser sedang membantu isterinya, seorang rakyat Thai, mengalihkan barang-barang mereka ke tempat yang kering.
Seorang lagi rakyat asing yang dikenal pasti mati ialah wanita Kemboja berusia 44 tahun yang terkorban dalam satu kejadian runtuhan lumpur awal bulan ini di pulau Koh Chang di wilayah Trat dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang lemas di Phathum Thani.
Pihak berkuasa memberitahu, ketika 22 daripada 76 wilayah di Thailand masih dilanda banjir, air dilapor telah surut di 16 wilayah lain.
Pihak berkuasa menganggarkan, kira-kira lima juta penduduk terjejas akibat banjir terutamanya di bahagian tengah dan timur negara, dengan rumah-rumah ditenggelami air, tanah pertanian rosak dan ternakan mati.
Berpuluh-puluh ribu mangsa banjir yang terselamat juga dilapor terpaksa mendapatkan rawatan perubatan akibat gatal-gatal kulit, demam selesema dan tertekan. - AFP

No comments:

Post a Comment