Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Kereta rempuh belakang lori


ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang melanggar lori di Km33.3 Lebuhraya Karak, dekat Gombak semalam.


GOMBAK 12 Okt. - Seorang ahli perniagaan terbunuh apabila kereta Mercedes-Benz yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 33.3 Lebuhraya Karak, dekat sini hari ini.
Mangsa, Leo Ah Fatt, 58, dari Muar, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan ngeri itu berlaku kira-kira pukul 10.02 pagi ketika kereta mangsa sedang menuruni selekoh tajam yang curam semasa dalam perjalanan ke ibu negara.
Difahamkan, mangsa yang baru selesai bercuti di Genting Highlands sejak Ahad lalu sedang dalam perjalanan ke ibu negara untuk menjemput isteri dan cucunya.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, Ah Fatt gagal mengawal keretanya lalu merempuh belakang sebuah lori yang membawa muatan surat khabar lama.
"Kereta mangsa yang dipercayai dipandu laju terus merempuh belakang lori itu berdasarkan tiada kesan brek ditemui di lokasi kejadian.
"Kami percaya mangsa mungkin tidak menyedari terdapat lori di hadapannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, pemandu lori dikenali sebagai Mohd. Norizam, 34, memberitahu, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Terengganu ke ibu negara untuk menghantar surat khabar lama.
Menurutnya, dia memandu perlahan di lorong kiri apabila menuruni curam itu namun tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi pelanggaran kuat dari belakang.
"Apabila saya turun untuk lihat apa yang berlaku, saya dapati tayar ganti dan batang besi bahagian belakang lori telah terkeluar akibat dilanggar kereta mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment