Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Jeritan adik ipar selamatkan tiga beranak dalam kebakaran


15/10/2010 6:05pm

ALOR SETAR 15 Okt. – Jeritan adik ipar menyelamatkan warga emas Rohnah Mohamad Nor, 76, dan suaminya, Hamzah Abd. Hamid, 82, serta anak mereka Norsiah, 46, daripada terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Lorong Keriang, Derga dekat sini hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari tadi memusnahkan keseluruhan tingkat atas rumah berkenaan.
Zaiton Shaari, 50, yang merupakan adik ipar Rohnah, berkata, dia tiba-tiba terhidu bau asap di rumah iparnya yang terletak bersebelahan dan diikuti dengan letupan kuat yang dipercayai litar pintas.
Dia kemudiannya keluar dan melihat api sedang marak di bahagian atas rumah iparnya itu.
"Saya menjerit memanggil kakak ipar saya (Rohnah) supaya keluar menyelamatkan diri dan meminta tolong jiran yang kebetulan baru sahaja selesai solat Jumaat,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Setar, Mohammad Mahyuddin berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira pukul 1.47 tengah hari dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 1.59 petang dengan kekuatan 20 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba Jalan Tun Razak dan Jalan Raja di sini.
Kebakaran dapat dikawal sembilan minit kemudian.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan jumlah kerugian masih disiasat. – Bernama

No comments:

Post a Comment