Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Ibu bapa kecewa bayi cedera dibenar keluar wad

sumber



2010/10/15

 KEPALA Putri Nur Sofea Humaira membengkak kerana ditimpa siling runtuh di  HBG sehari selepas dilahirkan.
KEPALA Putri Nur Sofea Humaira membengkak kerana ditimpa siling runtuh di HBG sehari selepas dilahirkan.
IPOH: Pasangan ibu bapa muda kecewa dengan kejadian siling runtuh di Hospital Batu Gajah (HBG) hingga menyebabkan kepala bayi sulung mereka membengkak sejak 17 hari lalu. 

Sahmani Dolmat, 29, berkata Putri Nur Sofea Humaira dilahirkan di hospital itu pada 25 September lalu dan sehari kemudian, sebahagian siling wad daripada ketinggian kira-kira empat meter jatuh menimpa kepala bayinya yang ketika itu baru berusia sehari.Beliau mendakwa, kakitangan HBG memaklumkan tiada luka serius dan isterinya, Nur Aishah Ahmad Syukri, 21, serta bayinya itu dibenarkan keluar wad beberapa hari kemudian.Katanya, dia sendiri gagal mengesan sebarang luka kerana tiada darah di kepala Nur Sofea, tetapi bengkak semakin serius ketika majlis cukur jambul 2 Oktober lalu. 

“Doktor klinik swasta meminta saya membawa Nur Sofea ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan anak saya ditempatkan di wad mulai Khamis minggu lalu. 

“Doktor memaklumkan ada pendarahan dalaman, tetapi saya pelik kerana mereka membenarkan anak saya keluar wad Isnin lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Sahmani berkata, kakitangan HRPB juga tidak menanggalkan jarum untuk mengambil contoh darah dan memasukkan ubat di kaki anaknya ketika dibenarkan keluar wad. 
Katanya, dia mendapatkan khidmat doktor swasta di Pengkalan, dekat sini untuk menanggalkan jarum itu. 

“Nur Sofea menangis hampir setiap jam hingga menyebabkan kami tidak dapat berehat atau tidur kerana perlu menjaganya,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata pesakit atau keluarga pesakit yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mana-mana hospital boleh mengadu kepada Lembaga Pelawat Hospital terbabit. 

Katanya, pesakit atau keluarga mereka tidak perlu menunggu lama untuk membuat aduan dan mereka juga tidak sepatutnya membawa isu itu kepada pembangkang. 

"Mungkin orang ramai masih tidak tahu, tetapi saya menggesa pesakit atau keluarga mereka menceritakan rasa tidak puashati kepada Ahli Lembaga Pelawat. Ini medan terbaik untuk menyelesaikan sebarang aduan," katanya.

No comments:

Post a Comment