Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Hajat tak sampai



PUCHONG – Hasrat seorang anggota polis untuk pulang ke kampung halamannya esok tidak kesampaian apabila dia terbabit dalam satu kemalangan di Puchong Jaya di sini, semalam. 

Difahamkan, mangsa bercadang pulang ke kampungnya di Kijal, Kemaman Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupunya selain mahu memperkenalkan teman wanita yang dikenali Februari lalu kepada keluarganya. 

Mangsa juga dikatakan berhasrat menunjukkan kereta yang baru dibeli kepada kedua ibu bapanya selepas setahun berkhidmat sebagai anggota polis. 

Teman wanita mangsa, Nor Amalina Che Amat, 18 berkata, arwah Konstabel Muhamad Safwan Mat Alim, 20, memberitahunya hasrat itu selepas lapan bulan berkenalan. 

“Sebelum ini saya tidak pernah bertemu ibu bapanya, tetapi arwah beria-ia mahu saya bertemu mereka Khamis ini (esok). 

“Malah dia juga mahu menunjukkan kereta jenis Proton Waja yang baru dibeli kepada kedua orang tuanya,” katanya yang masih bersugul dengan berita itu. 

Amalina berkata, arwah sebelum ini juga beberapa kali mengajaknya bertunang namun perkara itu belum dilaksanakan kerana bercadang mahu melanjutkan pelajaran. 

“Kali terakhir saya bertemunya Sabtu lalu sebelum menerima berita menyedihkan yang meragut nyawanya. 

“Apa pun saya reda dan pasrah dengan kejadian yang berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan surau Balai Polis Puchong di sini, petang semalam. 

Sementara itu, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengahari itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Balai Polis Puchong menuju ke rumahnya. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, mangsa, yang menunggang motosikal dari arah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ke Bukit Jalil dikatakan gagal mengawal motosikalnya di sebuah selekoh sebelum terbabas ke kiri jalan. 

“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa terbabas sebelum merempuh pasu bunga dan dia tercampak ke tepi jalan. 

“Akibat pendarahan yang serius di bahagian kepala, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Serdang,” katanya. 

Razak berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan seorang lagi anggota yang rajin, berdedikasi serta berdisiplin dalam menjalankan tugas. 

“Kita berasa kehilangannya apatah lagi mangsa meninggal selepas menjalankan tugas di balai. 

“Apa pun kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan dan membantu menguruskan jenazah yang akan dibawa pulang serta disemadikan di kampung asalnya di Terengganu,”katanya. 

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 0389422222 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment