Search This Blog

Tuesday, October 12, 2010

Hajat baiki rumah berkecai



KOTA BHARU - Hasrat seorang lelaki ingin membaiki rumahnya yang usang tidak kesampaian apabila dia ditemui mati berhampiran tapak stor membeli barangan lusuh di Simpang Tiga Tiong dekat sini, pagi semalam 

Mayat Hanafi Mohamad, 42, bekerja sendiri, ditemui beberapa penduduk kampung selepas ternampak mangsa dalam keadaan tertiarap dengan berpakaian lengkap berhampiran motosikalnya di tapak stor berkenaan kira-kira jam 7 pagi, semalam. 

Lebih menyedihkan penantian seorang isteri yang mengharapkan kepulangan suami tercinta dalam keadaan selamat tetapi disambut dengan berita buruk selepas dia dimaklumkan berhubung penemuan mayat insan tersayang itu pagi semalam. 

Isteri mangsa, Suzana Ismail, 32, berkata, pada malam sebelum suami keluar dia memberitahu hasratnya untuk membaik pulih rumah yang tidak selesa untuk didiami dan dia sangat beria-ia mahu mengutip kayu di tapak kedai membeli barangan lusuh yang sudah dirobohkan itu walaupun sudah lewat malam. 

“Suami saya memberitahu dia mahu keluar mengutip dan menyusun kayu terbuang itu untuk membaiki rumah kami kerana katanya ini adalah peluang dia mendapatkan kayu dengan banyak supaya rumah kami dapat dibaiki dengan segera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Suzana berkata, dia mendapat tahu insiden yang menimpa suaminya itu kira-kira jam 8 pagi semalam selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya ketika dia berada di rumah. 

“Sejak dari malam lagi saya tidak sedap hati dan tidak dapat tidur lena kerana saya mendapati sehingga tengah malam tadi (semalam) suami masih belum pulang, lagipun sebelum ini dia tidak pernah tidak balik. 

“Gerak hati saya mengatakan ada sesuatu yang buruk menimpa suami saya kerana sehingga pagi dia masih belum pulang tetapi apakan daya saya kerana saya tidak dapat menghubunginya kerana dia tidak menggunakan telefon bimbit sehinggalah saya sendiri bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh anak saudara dan sah mayat itu adalah suami saya,” katanya. 

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan difahamkan salah seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Awang di tahan oleh pihak polis bagi mendapat keterangan lanjut berhubung kejadian itu. 

Sementara itu, seorang penduduk, Wan Kahar Wan Mahmud, 42, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu oleh seorang penduduk kampung sebaik pulang dari bertugas. 

Dia yang juga seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata, selepas dimaklumkan, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira 20 meter dari rumahnya dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia, kemudiannya menghubungi pihak polis. 

Kejadian itu menyebabkan lalu lintas di kawasan berkenaan menjadi perlahan hampir satu jam dan seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam, Raden Mohd Jasmin Abdul Manaf membantu melancarkan pergerakan. 

Dalam pada itu, abang mangsa Ramli, 54, berkata, dia mengesyaki adiknya terlibat dalam satu pergaduhan ketika mengumpul kayu di kawasan terbabit kerana sebelum kejadian adiknya ada menceritakan masalah kepadanya. 

Dia yang juga seorang kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berkata, kira-kira jam 3 petang semalam, adiknya ada memberitahu ada seorang penduduk marah kepadanya kerana mencari kayu di kawasan berkenaan. 

”Saya syak dia bergaduh dengan seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan Awang, 40-an, kerana petang semalam dia ada memberitahu tidak puas hati dengan tindakan Awang yang menghalangnya untuk mencari kayu di sini. 

”Saya juga dimaklumkan oleh penduduk, kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam), ada melihat adik saya bersama Awang berada di kawasan berkenaan mengutip kayu,” katanya. 

Bagaimanapun, dia meminta agar polis menjalankan siasatan dengan adil berhubung kejadian terbabit.

No comments:

Post a Comment