Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Enam lelaki ditahan baling batu pada tren KTM

KUALA LUMPUR: Enam lelaki ditahan selepas membaling batu pada tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad yang sedang bergerak pada jam 6.15 pagi di KM 460 Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Akibat perbuatan mereka, enam unit tingkap tren rosak teruk dan perkhidmatan keretapi itu terpaksa dihentikan selama empat jam bagi menggantikan cermin yang pecah dan rosak untuk keselamatan penumpang.
Menurut kenyataan KTM, situasi itu mengundang kerugian kepada perkhidmatan KTM Komuter kerana terpaksa membatalkan dua perkhidmatan komuter enam gerabak.

Anggaran kerugian kutipan tiket akibat pembatalan perkhidmatan adalah RM10,000, manakala kos bagi menggantikan enam cermin yang rosak bernilai RM6,000.

Tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu.

Ini adalah kejadian kedua yang membabitkan tren sama minggu ini. Kejadian pertama berlaku dua hari lepas di laluan Sungai Buloh yang mengakibatkan satu unit tingkap tren rosak.

KTM akan mengambil tindakan tegas dengan mendakwa mereka yang terbabit mengikut Undang-undang Keretapi Akta 66(A) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

KTM memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan atau perbuatan vandalisme ke atas harta benda KTM kepada polis bantuan KTM di talian 03-22798819 atau mana-mana stesen terdekat.

Ia turut meminta kerjasama ibu bapa dalam memastikan anak-anak tidak bermain di sekitar landasan ketika musim cuti persekolahan.-Bernama

No comments:

Post a Comment