Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Empat didakwa 769 pertuduhan pengubahan wang haram

sumber

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Tiga pengarah syarikat yang didakwa menjalankan aktiviti skim cepat kaya dan seorang lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 769 pertuduhan membabitkan transaksi pengubahan wang haram berjumlah RM3 juta.
Mereka ialah Ng Poh Weng, Marcus Yee Yuen Seng dan Chin Wai Leong. Sementara seorang lagi bekas pengarah syarikat tersebut, Liew Chee Wah masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Poh Weng, 60, didakwa atas 263 pertuduhan, melibatkan diri dalam transaksi hasil aktiviti haram RM185,146 yang dilakukan antara 10 Jun dan 27 Julai 2008.
Yuen Seng, 58, pula menghadapi 234 pertuduhan yang serupa bernilai RM153,324 antara 20 Julai 2007 dan 20 Julai 2009.
Wai Leong, 34, pula didakwa atas 210 pertuduhan, terlibat dalam aktiviti haram membabitkan RM212,992 antara 10 Jun 2008 dan 6 Disember 2009.
Sementara Chee Wah, 56, pula menghadapi 89 pertuduhan membabitkan transaksi berjumlah RM31,332,757 antara 20 Julai 2007 dan 3 Februari 2009.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan utama KL di tingkat bawah, Menara Public Bank, No. 146, Jalan Ampang di sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haziq Razali mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Haziq mencadangkan supaya setiap tertuduh diikat jamin RM4 juta dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa mereka diserahkan pada mahkamah selain memohon dibicarakan bersama.
Barisan peguam bela Wong Kian Kheong yang mewakili tiga tertuduh memohon jumlah jaminan Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong dikurangkan sehingga RM100,000 kerana aset mereka telah dibekukan.
Peguam Keppy Wong Kai Pon bagi pihak Chee Wah turut mengemukakan hujah yang sama.
Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diikat jamin RM1 juta sementara Chee Wah RM800,000 berserta dua penjamin setiap seorang.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 November ini.

No comments:

Post a Comment