Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

Dua maut tak sempat elak MPV


Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2010/10/13

Mangsa rakan sekampung disyaki menunggang laju 

KANGAR: Dua rakan sekampung maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Jejawi Permatang, dekat Tambun Tulang, di sini, tengah malam kelmarin.Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah malam itu, ketiga-tiga remaja berketurunan Siam dari Kampung Padang Petani, dekat Jejawi, dikatakan menunggang laju di laluan berkenaan menghala ke Tambun Tulang.Difahamkan Sorod Som-yut, 16, meninggal dunia pada jam 4.15 pagi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, kerana parah kepala dan badan, manakala rakannya, Phanongkorn Khuntipak, 21, mati tiga jam kemudian di hospital sama. 

Seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Krissadi, 16, dilaporkan patah kaki selepas merempuh MPV jenis Honda Stream terbabit. 

Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awan negeri, Deputi Superintendan Ishak Mamat berkata, berdasarkan maklumat awal kejadian itu berlaku apabila Honda Stream dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Jejawi menghala Tambun Tulang membuat pusingan U secara tiba-tiba, menyebabkan ketiga-tiga mangsa gagal mengelak. 

“Semua mangsa yang menaiki tiga motosikal berasingan kemudian terus merempuh bahagian kanan Honda Stream terbabit sebelum masing-masing tercampak dan mengalami kecederaan. 
“Berikutan itu, dua daripada mangsa yang dilaporkan parah disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian ketika dirawat di HTF, manakala seorang lagi dilaporkan parah,” katanya. 

Ishak berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pemandu MPV berkenaan sejurus dia membuat aduan selepas kejadian awal pagi semalam. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya. 

Difahamkan, mayat kedua-dua mangsa dituntut keluarga masing-masing pagi semalam sebelum dibawa pulang untuk pengebumian. 

No comments:

Post a Comment