Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Ciuman anak untuk ibu

SELAYANG: “Saya pelik apabila anak saya sanggup berpatah balik untuk mencium dahi dan pipi saya. Dengan seorang adiknya juga dia buat begitu. Rupa-rupanya ada malapetaka yang bakal menimpa,” kata Norhayzam Hasan 37, ibu kepada Mohd Airil Azizi Azhari, 15 yang terselamat dalam kemalangan bas membabitkan rombongan Belia 4B, Baling Kedah, kelmarin berhampiran terowong Genting Sempah di Kilometer 36 Lebuhraya Karak, malam kelmarin.
Menurut Norhayzam, Mohd Airil, 15, disifatkannya berkelakuan aneh sebelum berangkat mengikuti rombongan berkenaan apabila menciumnya sebanyak tiga kali.

“Saya memang sudah tak sedap hati sebab anak saya jarang berbuat demikian, tetapi perasaan itu saya simpan saja.

“Tak sangka perasaan tidak sedap hati saya itu benar-benar memberi kejutan apabila anak saya terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, di sini.

Norhayzam berkata Mohd Airil, anak ketiga daripada lima beradik sempat menghubunginya sejurus selepas kemalangan berlaku untuk memberitahu dia terbabit dengan kemalangan.

“Dia (Mohd Airil) memberitahu kakinya tersepit. Saya menjawab jangan main-main dan selepas itu talian terputus.
“Dalam keadaan panik, saya dapat pula khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang rakannya memberitahu anak saya cedera parah. Lemah lutut jadinya,” katanya.

Menurut Norhayzam, dia terus membeli tiket bas dan bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 11 malam.

“Syukur Alhamdulillah, anak saya selamat. Dia menerima 15 jahitan di kepala dan luka teruk di dada. “Semoga dia cepat sembuh,” katanya yang juga ibu tunggal dari Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, Kedah.

Bagi Saadiah Man, 58, dia hampir pengsan apabila mendapat tahu anaknya terbabit dalam kemalangan ngeri berkenaan.

“Anak saya seorang saja. Ketika menerima panggilan telefon mengatakan anak saya kemalangan, lemah lutut saya sampai rasa nak pengsan,” katanya.

No comments:

Post a Comment