Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Buang air alasan pecah rumah




KULIM - Dua remaja lelaki ditangkap ketika cuba melakukan pecah rumah di Taman Cendana kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Thng Seng Ang berkata, sebelum masuk ke rumah mangsa, penjenayah terlibat dikatakan berlegar di sekitar kawasan taman itu.

Menurutnya, penduduk taman terlihat sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah diletakkan berhampiran dengan rumah mangsa dalam keadaan mencurigakan. Mereka yang bimbang terus menghubungi hotline PPKM untuk mendapatkan bantuan.

“PPKM menerima aduan dari penduduk di Taman Cendana terdapat sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah mangsa. Saya mengarahkan ahli PPKM yang berada berdekatan dengan tempat kejadian supaya bergegas ke lokasi berkenaan. Hampir 40 ahli PPKM berada di sekitar kawasan Taman Cendana sampai ke tempat kejadian.

"Ketika PPKM sampai, kedua penjenayah masih berada dalam rumah. Salah seorang dari penjenayah memaklumkan kepada saya, mereka hanya ingin membuang air kecil. Melihatkan alasan yang diberikan tidak munasabah, saya menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, Unit MPV dari Balai Polis Kulim sampai ke tempat kejadian mengambil keterangan dan membawa penjenayah terlibat ke balai untuk soal siasat.

Beliau menasihatkan kepada penduduk kawasan taman terutama yang membiarkan rumah mereka dalam keadaan gelap, supaya sentiasa memasang lampu di bahagian luar rumah untuk memastikan persekitaran tempat kediaman terang.

“Saya puji sikap kejiranan yang ada hari ini. Dengan kerjasama semua pihak, masalah jenayah dapat dibendung. Saya berterima kasih kepada semua ahli PPKM dan orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada PPKM sehingga tertangkapnya penjenayah yang melakukan kegiatan pecah rumah.

"Tanpa bantuan polis dan orang ramai, masalah jenayah sebegini sukar untuk ditangani,” katanya.

No comments:

Post a Comment